SEOUL – Tujuh orang di Korea Selatan maut selepas terperangkap di tempat letak kereta bawah tanah semasa banjir akibat Taufan Hinnamnor.
Mereka dipercayai telah turun ke kawasan itu untuk mengalihkan kereta tetapi terperangkap dengan arus deras.
Pasukan penyelamat hanya berjaya menyelamatkan dua orang, yang berpaut pada paip siling selama lebih 12 jam.
Taufan Hinnamnor, ribut terkuat telah melanda Korea Selatan awal minggu ini.
Pasukan penyelamat terpaksa mengharungi beberapa meter air pasang untuk memasuki ruang bawah tanah yang hampir tenggelam sepenuhnya pada malam Selasa.
Menurut laman berita Yonhap, kesemua sembilan orang adalah penghuni sebuah bangunan pangsapuri yang telah diberitahu oleh pejabat pengurusan untuk memindahkan kereta mereka dari tempat letak kereta.
Mangsa yang terselamat – seorang lelaki berusia 30-an dan seorang wanita dalam lingkungan 50-an, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Presiden Yoon Suk-yeol meluahkan kesedihannya atas tragedi itu menyifatkan ia sebagai “bencana”.
“Saya tidak dapat tidur malam tadi kerana tragedi ini,” katanya.
Pohang, bandar tempat tragedi itu berlaku, telah mengalami kerosakan paling teruk di seluruh negara.
Di satu kawasan lain, struktur sebuah hotel tepi pantai runtuh semasa ribut namun tiada pengunjung yang cedera.
Sekurang-kurangnya 10 orang kini maut akibat Taufan Hinnamnor, yang melanda pantai selatan dan timur Korea Selatan pada Isnin dan Selasa, menyebabkan ombak besar, angin ribut dan hujan lebat.
Beberapa bandar lain di selatan – termasuk Busan dan Ulsan turut terkesan dengan serpihan yang disebabkan oleh ribut, yang meruntuhkan jalan, memecahkan tingkap bangunan dan pokok tumbang.
Korea Selatan – seperti kebanyakan negara di Asia Timur mengalami hujan lebat serta rekod suhu sejak beberapa bulan lalu. – BBC