SEBERANG PERAI – Diupah RM200 untuk seleweng minyak diesel dengan membuat pembelian dari 10 stesen minyak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Itu taktik satu sindiket penyelewengan minyak diesel yang berjaya dibongkarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang selepas memberkas seorang lelaki berusia 40-an yang juga pekerja sindiket tersebut dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Permatang Pauh di sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, A. Mogan berkata, bertindak atas aduan orang awam, empat pegawainya melakukan serbuan di stesen minyak berkenaan pada jam 6.45 petang sebelum mendapati seorang lelaki sedang membuat pengisian minyak diesel ke atas sebuah lori dalam keadaan meragukan.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu sedang membuat pengisian minyak diesel ke dalam tangki asal lori berkenaan namun pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan tangki minyak yang diubah suai ditempatkan di bahagian atas lori tersebut.
“Minyak yang diisi di dalam tangki asal akan dipam masuk ke dalam tangki tambahan menggunakan motor pam.
“Dianggarkan sebanyak 1,810 liter minyak diesel telah diisi dalam tangki tambahan tersebut dari tiga stesen minyak,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian malam tadi.
Menurut Mogan, modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pembelian dari satu stesen minyak ke satu stesen minyak bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Jelasnya, siasatan lanjut ke atas pekerja berkenaan mendapati, dia ditawarkan upah RM200 untuk mengisi minyak diesel terbabit dari 10 buah stesen minyak di negeri ini.
“Lebih malang, lelaki itu baru bekerja dan tidak sempat mendapat upah tersebut.
“Selain itu, kita juga dapati majikan sindiket memberi RM5,000 untuk membuat pembelian 2,500 liter diesel, namun dia (pekerja) hanya sempat pergi ke empat stesen minyak.
“Sindiket terpaksa pergi ke beberapa stesen minyak berikutan kerajaan menghadkan pembelian minyak diesel sebanyak RM500 bagi setiap pengisian,” katanya.
Mengulas lanjut, Mogan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah menyita 1,810 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM3,892 dan sebuah lori beserta tangki tambahan untuk tindakan lanjut.
“Sitaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM69,192 dan lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette