LONDON – Pemain bek tengah Manchester United, Eric Bailly yang dipinjamkan ke kelab Ligue 1 Perancis, Olympique Marseille sehingga akhir musim ini meluahkan isi hatinya selepas meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu
Bailly memberitahu, dia bertemu penguris Erik ten Hag di bilik persalinan pada akhir musim lalu ketika ingin menandatangani kontraknya.
“Saya sedang mengemas barang saya kerana niat saya ingin pergi tetapi beliau memberitahu saya agar kekal kerana akan memberikan minit kepada semua orang.
“Saya bersetuju untuk melakukan jelajah musim panas bersama Manchester United dan dia menepati janjinya tetapi saya tidak mahu bermain pada hanya masa tertentu sahaja.
“Saya mahu melakukannya setiap minggu dan mahu menjadi pemain penting. Saya mahu mendapatkan semula keyakinan saya. Itulah sebab mengapa saya memilih untuk pergi,” katanya dalam temubual bersama TimesSport.
Pada masa sama, Bailly turut berharap United perlu mengelak untuk ‘memilih bulu’ kepada pemain Inggeris dan sepatutnya memberi peluang kepada pemain lain beraksi.
“United harus]menggalakkan persaingan di bilik persalinan dan bukan hanya memerhatikan kepada pemain yang sama.
“Saya sentiasa mempunyai perasaan bahawa pemain tempatan sering diutamakan. Dan itu tidak berlaku di Chelsea atau kelab besar Liga Perdana yang lain. Sesetengah orang mengambil mudah bahawa mereka akan memulakan perlawanan dan itu melemahkan pasukan.
“Nasib baik Ten Hag mempunyai banyak watak berbeza dan saya harap beliau mengubah dinamik itu,” katanya lagi.
Bailly masih memiliki kontrak dengan United sehingga 2024, tetapi Marseille diberi pilihan untuk menjadikannya sebagai pemain tetap pada hujung musim 2022-23.
Pemain Ivory Coast itu menyertai United pada 2016, tetapi jarang beraksi sejak beberapa musim kebelakangan ini, termasuk hanya bermain tiga kali dalam kesebelasan utama pada musim lalu.
Dia tidak diturunkan di bawah kendalian pengurus baharu, Erik ten Hag pada awal musim ini sebelum mengambil keputusan berhijrah sebelum jendela perpindahan ditutup pada akhir Ogos lalu. – MalaysiaGazette