Orang ramai mengunjungi SnoWalk I-City dengan bermain salji buatan bersama keluarga berikutan cuti sekolah sesi 2021 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Cuti sekolah selama sembilan hari pada September dijangka  membangkitkan satu gelombang cuti-cuti Malaysia.

Timbalan Presiden Persatuan Inbound Tourism Malaysia, Mint Leong berkata, aktiviti percutian dalam negeri mula aktif pada Februari dan Mac dengan satu lagi gelombang percutian dijangka berlaku pada September.

Katanya, walaupun statistik percutian tidak dapat diperoleh kerana ramai yang akan memilih melancong secara kendiri, tetapi tanah tinggi dan pulau dijangka menjadi pilihan percutian rakyat Malaysia.

“Destinasi popular termasuk Langkawi, Semporna, Genting Highlands, Cameron Highlands dan pulau-pulau di Pantai Timur,” katanya kepada China Press.

Katanya, disebabkan lama “terperap” semasa pandemik, ramai orang sudah tidak sabar untuk keluar bercuti, termasuk di lokasi berhampiran.

Dalam pada itu, Mint berkata, agensi-agensi pelancongan juga menilai potensi “destinasi alternatif”  untuk memenuhi permintaan pada hujung tahun kerana musim tengkujuh akan menyebabkan pulau di Pantai Timur ditutup.

“Pulau Labuan yang bebas cukai dan Tawau yang mempunyai makanan lazat merupakan tempat yang klasik tetapi jarang dilawati pelancong dari Semenanjung.

“Ramai yang hanya singgah di Tawau, Sabah sebelum menuju ke pulau-pulau berhampiran, sedangkan Tawau juga ada tempat dan makanan yang boleh diterokai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast