Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri pertama yang juga merupakan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman pernah mengaitkan muslihat ‘Machiavellian Ultra’ dengan agenda Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga memusnahkan sepenuhnya kebebasan badan kehakiman negara pada era 90-an.

Agenda itu dihidupkan semula apabila bekas perdana menteri itu membuat kemunculan menerusi bayangan reformasi pada 2018 dengan kerjasama rapuh antara parti-parti yang mahu menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

Penulis artikel ‘Malaysia under siege – a depspot’s continued machination’, Anand Murgan  menyorot rumusan Tunku Abdul Rahman terhadap Dr Mahathir yang disifatkan sebagai diktator dan menggunakan apa saja cara untuk memastikan dia kekal berkuasa dan mengawal segala aspek pentadbiran termasuk badan kehakiman.

Menurut Anand, kezaliman Mahathir berlangsung selama 22 tahun tanpa gangguan sehingga beliau mengalah dengan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Timbalannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, dalam tempoh tiga tahun, Mahathir kembali dengan muslihat untuk menghapuskan Abdullah dan menggantikannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, anak Perdana Menteri kedua Malaysia pada 2009.

Kemudian pada 2013 Dr. Mahathir, menurut penulis yang sebenarnya mahu anaknya mewarisi jawatan Perdana Menteri merancang menggulingkan Najib sehingga beliau berjaya merealisasikan matlamatnya pada 2018 apabila dipilih menerajui negara selama 22 bulan.

Dalam tempoh tersebut, beliau menyelaraskan semula institusi utama, iaitu Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan paling penting badan kehakiman.

Akibatnya, Malaysia sebuah ekonomi Asia Tenggara yang sedang meningkat dan dilimpahi dengan sumber asli mengalami kelesuan ekonomi yang teruk sejak kemunculan semula seorang yang ‘nonagenarian’ atau berusia lebih 90 tahun sebagai Perdana Menteri.

Dari 2018 hingga sekarang, Malaysia telah dipermainkan dengan ‘muzik politik lompat parti’  sehingga menyebabkan negara mempunyai tiga kerajaan berbezadiketu ai oleh tiga Perdana Menteri berasingan dalam tempoh yang singkat.

Keadilan yang terpesong

Artikel Anand yang disiarkan di Firstpost  turut dipetik portal Malaysia Today. Penulis berkenaan juga melihat perjalanan prosiding mahkamah 1MDB dan SRC Najib Razak yang menurutnya tidak pernah benar-benar menggambarkan intipati sebenar proses kehakiman.

Beliau membuat beberapa rumusan penting yang menggambarkan Najib dinafikan beberapa pembelaan asas yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu:

  • Tidak mempunyai akses kepada sisastan jenayah terhadap Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Pusat Malaysia. Ini adalah kes yang diketengahkan oleh pihak berkuasa Singapura yang telah merampas akaun keluarga Zeti di Singapura kerana bayaran besar yang diterima daripada Jho Low, pengendali utama 1MBD.
  • Tiada prosiding jenayah sebenar dijalankan ke atas Tan Sri Nor Mohammad Yakub, anggota Kabinet di bawah pentadbiran Najib yang pada asasnya terlibat dengan menaikkan pembiayaan yang diperlukan untuk 1MDB dan juga dikenalpasti oleh pihak berkuasa Singapura untuk pembayaran yang diterima daripada Jho Low.
  • Hakim Datuk Mohd. Nazlan Ghazali, hakim yang mengetuai perbicaraan SRC Najib dan yang mula menjatuhkan hukuman kepadanya. Hakim Nazlan sebenarnya adalah penasihat undang-undang bagi bank yang menyelia transaksi kewangan di SRC. Dia juga kemudiannya didapati terlibat secara langsung dalam pengumpulan dana untuk SRC melalui bank dan juga dikatakan telah menerima suapan daripada Jho Low.
  • Walaupun siasatan rasmi dijalankan oleh SPRM ke atas Hakim Nazlan, dan pengakuan media secara terang-terangan oleh Peguam Negara, ia tidak diterima untuk pembelaan Najib kerana penarikan balik kemudiannya oleh Peguam Negara sendiri. Untuk rekod, Hakim Nazlan tidak pernah menarik diri daripada menghakimi kes Najib dan juga tidak berundur.
  • Permohonan Najib untuk mendapatkan peguam luar pada Januari 2022 iaitu Queen’s Counsel (QC) dari United Kingdom, telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada Julai 2022 iaitu selepas 7 bulan. Keadaan itu memberikan Najib hanya sedikit masa untuk menyusun semula pembelaannya yang termaktub dalam perlembagaan.
  • Pada penghujung Julai, kerana mempunyai pilihan yang sangat terhad, Najib mengupah sekumpulan peguam yang baharu selepas mendapat nasihat daripada beberapa pakar undang-undang kanan India.

Peguam-peguam ini berhasrat untuk mengkaji pelbagai dokumen malah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam wawacara terbaharunya mengakui kes tersebut adalah rumit dan memerlukan ketelitian yang tinggi oleh pasukan pendakwaan.

Ini bermakna pasukan peguam bela Najib terutamanya barisan peguam baharu memerlukan masa untuk meneliti satu persatu dokumen tersebut bagi memastikan keadilan yang dicari-cari dapat dilaksanakan.

Malangnya, permohonan mereka ditolak oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada 15 Ogos lalu dengan alasan tiada yang rumit dalam kes SRC itu.

Tentu ramai pemerhati yang sedar bahawa sepanjang perbicaraan, beberapa personaliti utama yang terlibat rapat dengan SRC tidak pernah dikemukakan di mahkamah iaitu Jho Low dan Nik Faisal (CEO SRC).

Kedua-dua individu ini dipercayai melarikan diri dari Malaysia. Walaupun, wartawan Wall Street Journal yang menulis buku “The Billion Dollar Whale” mengenai Jho Low, baru-baru ini mengesahkan penampilan Jho Low yang tanpa segan silu menikmati kehidupan di China.

Pencatur yang bersembunyi 

Melangkah ke hadapan, Malaysia akan menuju ke pilihan raya umum tidak lama lagi. Ini mungkin menjadi satu lagi detik penting untuk Malaysia dengan Dr. Mahathir masih memainkan peranan penting dalam memanipulasi kemungkinan keputusan.

Penulis turut mengupas tentang proses memohon pengampunan diraja – satu tindakan yang dilaksanakan mengikut Perlembagaan yang dilhat mengundang perasaan gemuruh Mahathir, kelompok kelas menengah liberal dan penentang institusi diraja.

Biar pun menjalani hukuman di penjara populariti Najib semakin meningkat malah jumlah pengikut Facebooknya meningkat 230,000 orang menjadi 4.6 juta dalam tempoh 10 hari.

Masa akan menentukan. Keupayaan Najib untuk bangkit boleh menunjukkan kepada kita  bahawa kedaulatan undang-undang dan keadilan di Malaysia adalah nyata dan berfungsi walaupun ditipu oleh seorang yang zalim.

Dan, kata-kata Tunku Abdul Rahman mungkin akan menjadi kenyataan.

“Masanya akan tiba. Kita perlu mencari jalan untuk meletakkan lelaki ini di tempatnya.

“Kami tidak boleh buat masa ini kerana dia mengawal undang-undang – apa yang anda lakukan dengan lelaki seperti itu? Tapi masanya akan tiba..”.

— Artikel ini dipetik daripada tulisan penulis yang disiarkan di Firstpost