KUALA LUMPUR – Seperti yang dijangka, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.
Ia merupakan kenaikan kali ketiga pada tahun ini dengan 75 mata asas, kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Bank pusat itu berkata, peralihan ke fasa endemik dan langkah-langkah dasar telah menyumbang kepada prestasi pertumbuhan yang lebih kukuh pada suku kedua tahun 2022.
Petumbuhan ekonomi Malaysia berterusan disokong oleh perbelanjaan sektor swasta, selain pasaran pekerja dan prospek pendapatan terus positif dengan pengangguran dan guna tenaga tidak penuh terus berkurangan.
Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan meningkatkan sektor berkaitan pelancongan manakala aktiviti dan prospek pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun.
Bagaimanapun, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan.
Meskipun volatiliti dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing meningkat, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan pertumbuhan Malaysia.
Ini kerana, keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi, dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur.
Institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh, sekali gus akan memastikan pengantaraan kewangan terus menyokong ekonomi.
BNM menambah, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan akibat daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.
Sejak awal tahun hingga kini, inflasi keseluruhan berpurata pada 2.8% dan inflasi keseluruhan diunjurkan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga tahun 2022 sebelum menurun selepas itu.
Hal ini disebabkan oleh kesan asas yang semakin luput dan juga sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin menurun.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022, dengan beberapa tanda wujudnya tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.
Tambahnya, kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi.
Bagaimanapun, prospek inflasi terus dipengaruhi oleh langkah-langkah dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan.
Mengulas lanjut, BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, meskipun pada kadar sederhana, disebabkan oleh tekanan kos yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang lebih ketat serta langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.
Namun, pertumbuhan global terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan pembukaan semula sepenuhnya bagi kebanyakan ekonomi dan sempadan antarabangsa.
Tekanan inflasi kekal tinggi disebabkan oleh harga komoditi semakin meningkat dan pasaran pekerja yang ketat, meskipun keadaan rantaian bekalan global semakin bertambah baik.
Kesannya, bank-bank pusat dijangka terus membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka bagi mengurangkan tekanan inflasi, dengan sesetengah bank pusat melakukannya pada kadar yang lebih cepat khususnya, pelarasan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang agresif telah menyumbang kepada persekitaran dolar AS yang kukuh.
Ini menyebabkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan, lantas memberikan kesan terhadap mata wang pasaran utama dan pasaran sedang pesat membangun lain termasuk ringgit.
Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka menghadapi cabaran daripada kesan dasar monetari yang diperketat dalam kebanyakan ekonomi serta langkah-langkah pengurusan pandemik di China.
BNM menambah, prospek pertumbuhan juga bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk tekanan kos yang tinggi, kemungkinan berlakunya krisis tenaga di Eropah dan keadaan pasaran kewangan menjadi ketat secara mendadak. – MalaysiaGazette