zaid ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zaid Ibrahim kesal dengan tindakan pihak tertentu yang memutarbelitkan isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sabitan kes SRC International Sdn. Bhd.

Menurut beliau, malang sekali peguam seperti bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang sepatutnya mengetahui perkara sebenar namun tidak menyatakan kebenaran.

Zaid berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menjurus memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk mengampunkan kesalahan yang berlaku di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain.

“Kalau tuanku dan Raja-Raja Melayu rasa takut dan tertekan untuk melaksanakan kuasa pengampunan ini sebab tekanan politik maka malang sekali kepada institusi Raja-Raja Melayu.

“Jangan kita buat duluan bahawa tuanku rasa tertekan, rasa bersalah kerana unsur-unsur dibangkitkan peguam yang karut, unsur-unsur politik yang karut.

“Kita harus memelihara kesucian prerogatif tertinggi mengurniakan belas kasihan dalam undang-undang kita,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam wawancara disiarkan oleh MalaysiaKini, Tommy mencadangkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong tidak diberi kuasa untuk mempertimbangkan pengampunan tanpa nasihat Lembaga Pengampunan.

Beliau juga mendakwa bahawa pengampunan untuk Najib adalah ‘mustahil’ atas ‘sebab undang-undang’.

Zaid menambah, kuasa pengampunan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong itu tidak tertakluk kepada keputusan mahkamah atau pendapat orang ramai.

Sebaliknya, beliau memberitahu, ia tertakluk kepada rasa dan pandangan peribadi Seri Paduka yang tidak perlu meneliti kes itu dari segi perundangan kerana baginda bukan hakim.

“Baginda perlu mengkaji sebelum membuat keputusan, kaji dari aspek keadilan, adakah kepincangan sudah berlaku dalam sistem keadilan kita.

“Apakah ada sebab-sebab tertentu digunakan? Kalau baginda kena ikut kes mahkamah maka tak perlulah kuasa pengampunan ini, mansuhkan sahaja,” jelasnya.

Zaid turut menempelak Tommy berhubung kenyataannya itu kerana kuasa pengampunan raja tidak boleh dipersoalkan dan telah ditetapkan kira-kira 25 tahun lalu, contohnya dalam kes Sim Kie Chon (1985) dan Mona Fandey (2002).

“Dia kata tak boleh, mana dia baca undang-undang ini,” katanya.

Beliau meningatkan Tommy bahawa pengampunan dikurniakan atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan justeru rakyat tidak boleh mengajar Seri Paduka serta memberi pandangan yang seolah-olah menekan baginda.

Zaid juga percaya kepada kebijaksanaan dan kemampuan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu dalam soal mengurniakan pengampunan.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Demi keadilan lah penjenayah masuk penjara. Apa lagi nak minta keampunan diraja dengan jenayah besar begitu . Raja bersifat adil patut bersikap adi juga bukan nak bersyubhat dengan penjenayah . Jangan dikira makhluk yang darah dagingnya dijamu sekian lama dengan makanan haram . Mereka dah buta mata dan hati kerana itu . Yang haram dah rasa halal dah.

Comments are closed.