KUALA LUMPUR – Prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) RM2.3 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diteruskan hari ini dengan saksi ke-37, R. Uma Devi dari Ambank memberi keterangan.
Ketika membaca keterangan saksi, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan itu berkata, Najib sebenarnya penandatangan sah bagi akaun terbabit selain penandatangan tunggal sah bagi cek dikeluarkan melalui akaun AmIslamic miliknya.
Katanya, akaun Najib telah menerima kemasukan wang berjumlah RM60.6 juta melalui dua transaksi pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.
Uma Devi sambil merujuk dokumen penyata akaun, akaun persendirian terbabit menerima kemasukan wang RM30,449,929.97 pada 24 Februari 2011 dan RM30,179,909.46 pada 14 Jun tahun sama.
“Hanya Datuk Seri Najib Razak sahaja boleh menandatangani cek dan melakukan urusan menerusi akaun ini.
“Akaun persendirian itu telah menerima kemasukan wang RM30,449,929.97 pada 24 Februari 2011 dan RM30,179,909.46 pada 14 Jun tahun sama.
“Saya memperakui dan mengesahkan bahawa dokumen (penyata akaun) ini dicetak daripada komputer milik AmBank Cawangan Jalan Raja Chulan,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Uma Devi juga mendedahkan Najib telah melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (anak syarikat 1MDB), Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat akaunnya untuk membuat pindahan antara 2011 dan 2013 dari akaun milik Najib yang berakhir 694 itu.
Najib membenarkan Nik Faisal membuat pertanyaan terhadap status dan butiran akaun termasuk jumlah baki serta mengesahkan cek melebihi RM250,000.
Jelas Uma Devi, bank perlu mendapatkan pengesahan Nik Faisal untuk meneruskan transaksi bagi mana-mana cek melebihi jumlah berkenaan yang dikemukakan daripada akaun Najib.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan dengan menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette