Halimey Abu Bakar
Halimey Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu menyatakan pendirian secara terbuka terhadap Gerakan Tanah Air (GTA)  sebelum menyertai Pakatan Harapan (PH).

Cabaran itu dibuat oleh Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini.

Halimey berkata, sukar untuk PH bekerjasama dengan MUDA sekiranya parti itu mempunyai hubungan dengan GTA yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“MUDA juga perlu menyatakan pendirian terhadap GTA yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden Pejuang iaitu parti politik berasaskan kaum yang diketahui secara terbuka menolak calon Perdana Menteri tunggal PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini kerana mustahil akar umbi PH akan bekerjasama dengan MUDA sekiranya gagal memuktamadkan sokongan secara tuntas terhadap keputusan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui secara kolektif,” katanya.

Beliau turut meminta supaya parti MUDA berhenti daripada berharap untuk bertanding di kerusi dalam negeri yang telah dimenangi PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Halimey berkata, parti pimpinan Syed Saddiq itu tidak akan mendapat laluan mudah untuk bertanding di negeri-negeri tersebut.

“Sebaliknya fokus gerak kerja di kawasan pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau mengulas keputusan MUDA yang sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan.

Halimey bagaimanapun berkata, keputusan yang diambil oleh MUDA itu telah mendahului proses sepatutnya iaitu membuat permohonan rasmi kepada PH terlebih dahulu.

Jelas beliau, keputusan Majlis Presiden PH menerima atau menolak sebarang permohonan rasmi MUDA juga perlu mengambilkira pandangan akar umbi khususnya dari PKR.

“Umum mengetahui luka lama akibat tindakan semberono MUDA meletakkan calon di Larkin yang bertembung dengan calon PKR pada PRN Johor masih berdarah ditambah sindiran Presiden MUDA terhadap pengerusi PH pada 2014 yang ditularkan semula.

“Penjelasan perlu diberikan untuk tindakan itu yang telah membangkitkan kemarahan anggota PKR,” kata beliau.

Menurut Halimey, permohonan MUDA untuk bersama PH sebagai parti komponen juga perlu disertai dengan keikhlasan membantu memperkukuh serta memperkuat jentera parti komponen itu.

Dalam sidang media semalam, Syed Saddiq berkata, MUDA bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-15.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, MUDA juga menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk di Parlimen Muar, yang kini diwakilinya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.