Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pembukaan Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menerima penjelasan parti komponennya, Pas mengenai isu ‘rundingan dalam gelap’ yang dibuat dengan UMNO.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menerima penjelasan Pas yang memaklumkan bahawa perbincangan yang berlangsung merupakan rundingan ‘tidak rasmi’ dengan UMNO.

“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional juga mengambil maklum penjelasan Pas bahawa tiada rundingan rasmi dibuat antara Pas dan UMNO bagi menghadapi PRU15.

“Perbincangan adalah secara tidak rasmi dan tidak melibatkan pucuk pimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dibuat Muhyiddin selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN, malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, rundingan itu tidak berjaya kerana pendirian UMNO yang tidak akan mengadakan rundingan dengan Pas pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Tiada apa-apa kemajuan dicapai daripada perbincangan ini setelah UMNO membuat pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pas dalam PRU-15.

“Pas juga mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti- parti anggota dalam Perikatan Nasional,” jelas Muhyiddin lagi.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin membuat kenyataan bahawa terdapat ‘rundingan dalam gelap’ antara Pas dan UMNO.

Hashim berkata rundingan dalam gelap Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan pemimpin tertentu UMNO menyentuh keperluan satu lawan satu di antara mereka dan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast