KUALA LUMPUR – Saya rasa tidak ada keperluan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) setakat ini.
Itu tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi ketika ditanya mengenai keperluan mengadakan perbincangan dengan wakil Perikatan Nasional (PN) mengenai tuntutan jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.
Jelasnya lagi, dua jawatan menteri kanan kepada wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah boleh dianggap setara dengan jawatan TPM.
“Menteri-menteri kanan ini saya anggap lebih kepada TPM kerana keistimewaan yang diperoleh hampir sama dengan dengan TPM, sudah ada empat menteri kanan.
“Saya juga telah perjelaskan kepada wakil PN (Perikatan Nasional) dua orang iaitu Setiausaha Agung (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan bendaharinya (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) sewaktu berjumpa dengan saya.
“Ia boleh dianggap pertemuan rasmi dan tidak rasmi tapi sama ada rasmi atau tidak, mereka nak dengar pandangan daripada saya,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke 18 (MIHAS 2022) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian mengulas pertanyaan media sama ada perjumpaan dengan empat wakil PN masih diteruskan atau tidak.
Untuk rekod, Bersatu mempunyai dua menteri kanan antaranya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Dua lagi menteri kanan adalah Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadzilah Yusof dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sabtu lalu, Ismail Sabri menganggap perjanjian beliau dengan PN yang dibocorkan baru-baru ini sebagai cerita lama malah menegaskan perjanjian itu bukan cerita baharu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, selaku Perdana Menteri beliau harus fokus kepada aspek memulihkan ekonomi negara serta persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).
“Pada hari ini saya selalu PM lebih nak fokus kepada memulihkan ekonomi dan selesaikan isu berkaitan rakyat seperti kos sara hidup yang meningkat, saya rasa itu lebih penting.
“Saya rasa rakyat nak dengar mengenai ini dan lihat dari segi komen dalam sosial media rakyat nak perkara ini bukan nak bincang perkara lain, saya kata jumpa atau tidak jumpa jawapannya itulah jawapannya jadi terserah. Saya terbuka,” katanya.
Bulan lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan perjumpaan Ismail Sabri dengan dua pemimpin PN sebelum ini bukan perjumpaan rasmi. – MalaysiaGazette