Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Bersama Masyarakat India di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2022. - Gambar hiasan.

SHAH ALAM – PKR mendesak masyarakat India di negara ini  tidak terus berdiam diri dalam skandal penyelewengan melibatkan jutaan membabitkan dana-dana penting komuniti itu.

Sebaliknya mereka perlu tampil berani menuntut audit forensik bagi mengetahui kebenaran, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau ketika menghadiri Perhimpunan Bersama Masyarakat India dan pemimpin-pemimpin utama India PKR di sini berkata, hanya melalui melalui audit forensik segala kebenaran dan realiti sebenar akan terbukti.

Tiga dana yang disebut ialah skandal Maika Holdings Berhad (Maika), Geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan isu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) yang telah banyak memperuntukkan jutaan untuk komuniti India di negara.

Dakwa Anwar, dana seperti Maika, Mitra dan MIED sebenarnya mempunyai pelbagai kepincangan, tiada kawal selia baik dan penyelewengan sehingga hari ini telah gagal dijawab oleh  perdana menteri sebaliknya pemimpin MIC.

“Orang India perlu tuntut audit forensik. Hanya ini sahaja akan bantu kamu nanti. Kerana setiap persoalan yang kita bangkitkan dalam Parlimen mahu pun di luar tidak pernah berjawab. Duit peruntukan masuk dan kemudian ‘hilang’ macam itu sahaja. Kita tanya, mereka sepi.

“Penyelewengan telah banyak terbukti pada hari ini kerana audit forensik. Masyarakat India sehingga ke hari ini mengadu domba bukan isu-isu baharu atau isu-isu kompleks sebaliknya hanya satu yang kita seringkali dengar, masalah pengabaian isu bagaimana mereka terpinggir.

“Walhal banyak sahaja peruntukan yang diberikan jadi mana perginya dana-dana itu? Hanya audit forensik sahajalah yang mampu beri jawapan itu.

“Saya sendiri pernah menjadi Menteri Kewangan dulu, saya tahu tentang masalah kawal selia ini ketika itu lagi,” katanya di hadapan pemimpin dan penyokong dalam kaum India di IDCC di sini hari ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saraswathy Kandasamy (duduk, dua kiri) bergambar kenangan dengan barisan kepimpinan PKR serta penyokong yang hadir pada Perhimpunan Bersama Masyarakat India di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2022.

Kata Anwar lagi, seandainya tidak ada yang tampil membuat tuntutan maka PKR akan berbuat demikian supaya audit forensik itu disegerakan bagi memastikan tidak ada isu kepinggiran berlaku pada kaum itu pada masa depan.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, K. Saraswaty  lantang menyoal MIC apakah yang terjadi dengan peruntukan MIED dan juga Universiti AIMST oleh kerajaan.

Benarkah dana itu diguna bagi tujuan membantu pelajar miskin India di negara ini, soalnya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saraswathy Kandasamy berucap pada Perhimpunan Bersama Masyarakat India di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2022.

“Dua hari saya telah beri ucapan pada AGM MIC tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah buat pengumuman peruntukan tahunan untuk Universiti AIMST telah dinaikkan daripada RM20 juta kepada RM25 juta. Soalan saya, apakah yang telah dilakukan oleh pengurusan AIMST dan MIC terhadap dana-dana itu?

“Dana sebanyak RM45 juta, RM20 juta tahun 2020 dan RM25juta untuk tahun 2021. MIC kata saya buat kenyataan palsu tetapi soalan saya, kalau PM sendiri sudah umum ianya adalah annual payment mestilah tahun sebelum itu juga ada.

“Persoalannya, apakah breakdown oleh MIC untuk bantu pelajar miskin kita dengan peruntukkan-peruntukkan itu?” soalnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast