Exco Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Pelajar lepasan pondok di Pahang kini boleh membina kerjaya mereka dalam perniagaan makanan menerusi Program Tahfiz Mahir.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, objektif program itu bagi membuka laluan kerjaya kepada mereka dan bakal  mencapai minimum pendapatan bulanan minimum RM2,000 sebulan.

“Program Tahfiz Mahir Yayasan Pahang ini hasil gabungan modul latihan kemahiran oleh Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) dan modul pendidikan al-Quran seperti talaqqi, tahsin, tahfiz dan tadabbur  oleh Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) .

“Ia merupakan pengajian lanjutan kepada pelajar lepasan 183 sekolah pondok, madrasah dan pusat-pusat tahfiz  di Pahang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Program di bawah melalui Yayasan Pahang dengan usahasama KYPAS dan MTNP itu merupakan program tenaga mahir yang pertama di Malaysia melibatkan golongan pondok.

Tambah Syed Ibrahim, menerusi program berkenaan, pelatih yang berjaya menamatkannya diberi sijil melalui kaedah Sistem Latihan Dual Nasional Modular, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Program Tahfiz Mahir adalah untuk membuka laluan kerjaya kepada pelajar lepasan pondok dan tahfiz, membangunkan sumber tenaga kerja tempatan mahir dan separa mahir dalam bidang kritikal seterusnya  mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.

Projek rintis telah dimulakan menerusi Kursus Breakfast Production di bawah bidang penyediaan makanan dengan pengambilan kohort pertama seramai lapan pelatih pada 18 Julai lalu dan dijadualkan tamat pada Januari 2023.

Pelatih juga diberikan elaun RM1,200 sebulan, penginapan, makanan dan minuman percuma serta kelas pengukuhan hafazan dan tasmik sepanjang program itu berlangsung.

Difahamkan program akan diperluaskan kepada bidang kemahiran lain seperti pertanian fertigasi, penuaian dan kimpalan dengan pengambilan tiga kali setahun iaitu pada Februari, Ogos dan Disember. – MalaysiaGazette