SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta komited menyelesaikan masalah masyarakat India termasuk isu berkaitan kad pengenalan merah sekiranya menjadi menjadi perdana menteri.

Timbalan Penerangan I PKR, Datuk R. Ramanan berkata, selain itu masalah pendidikan juga perlu diberi perhatian.

Beliau yang juga bekas Bendahari Agung MIC itu menegaskan, masalah berkenaan bukanlah sesuatu perkara yang baharu namun sudah dibangkitkan sejak puluhan tahun lalu.

Jelasnya, isu kad pengenalan merah merupakan isu khusus kaum India di negara ini malahan sudah berlanjutan negara merdeka sehingga ke hari ini.

“Pelbagai alasan diberi untuk ‘melarikan diri’ daripada tanggungjawab ini. Adilkah kami diperlakukan begini? Jika anda bertanya kepada seseorang yang memegang kad pengenalan merah untuk sekian lama, si pemegang kad itu akan menceritakan pengalaman cukup pahit dalam proses permohonan kad pengenalan biru.

“Sehingga bila kita harus ‘merayu’ untuk sesuatu yang sememangnya yang menjadi hak kita? Selagi isu kad pengenalan merah tidak diselesaikan sepenuhnya oleh pihak berwajib, segelintir masyarakat India di negara ini akan terpinggir daripada arus pembangunan negara,” ucapnya dalam Perhimpunan Masyarakat India di IDCC di sini anjuran PKR hari ini.

Kata Ramanan lagi, satu lagi isu yang terus menghantui komuniti India ialah permasalahan penempatan bagi kursus pengajian seperti tempat untuk kursus perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan dan banyak lagi di institusi pengajian tinggi awam selain pemberian biasiswa melanjutkan pelajaran.

Ramanan menjelaskan, ramai juga dalam kalangan pelajar India yang mendapat keputusan cemerlang dan layak tidak mendapat tempat.

“Hakikatnya berpuluh-puluh ribu pelajar cemerlang kita tercicir dari kursus-kursus ini. Kita seringkali dengar MIC melaungkan betapa mereka berjaya mendapatkan tempat matrikulasi, selepas itu apa jadi? Ramai pelajar cemerlang tetap tidak mendapat tempat untuk kursus penting.

“Justeru itu, memandangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kita sayangi berada dalam dewan ini, satu ikon yang bagi kita adalah penyelamat dan bakal serta pasti menjadi Perdana Menteri. Saya mohon kepada Datuk Seri supaya komited dengan dua isu ini.

“Saya tahu saya asyik minta itu ini tapi ini untuk komuniti saya. Ini penting. Tolonglah Datuk Seri selesaikan isu kad pengenalan merah yang sudah begitu lama dan isu berkaitan penempatan kuota pendidikan ini. Seperti Datuk Seri maklum, kami juga anak-anak kamu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast