KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan membalas dendam terhadap parti lawan sekirannya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang yakin BN akan menang pada PRU-15 berkata, membalas dendam tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Tambahan pula, pemimpin BN tidak mempunyai sifat menyimpan perasaan dendam kepada musuh politik.
“Saya yakin PRU-15 nanti, BN akan berkuasa semula secara dominan dalam bidang politik di negara ini.
“Kita berjanji jika Allah mentakdirkan, mengizinkan kita memegang kuasa kembali kita tidak akan membalas dendam kepada sesiapa pun.
“Kita tidak balas dendam kerana kita tidak ada sifat vindictive kepada sesiapa pun. Saya berjanji. Disaksikan oleh Allah dan para malaikat,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-14 Partu Makkal Sakti Malaysia.
Turut hadir Presiden Makkal Sakti Datuk Seri R.S. Thanenthiran, anak Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohd Nizar dan Nooryana Najwa serta presiden-presiden Friends of BN dari Malaysian Indian United Party, Kimma, IPF dan Parti Punjabi Malaysia.
Tambah Ahmad Zahid, membalas dendam terhadap musuh politik bukanlah satu perbuatan yang diterima dalam sebuah negara yang bertamadun seperti Malaysia.
Beliau bagaimanapun berkata, kemenangan yang diberikan oleh rakyat kepada BN merupakan satu bentuk pembalasan kepada pemimpin terbabit.
“Membalas dendam tidak akan berakhir . Membalas dendam tidak menguntungkan sesiapa.
“Tetapi yakinlah biar rakyat yang menghukum mereka yang membalas dendam itu kerana dengan mandat rakyat pada PRU ke-15 jika pemimpin-pemimpin itu ditolak, itulah pembalasan dendam sebenarnya daripada rakyat pada orang-orang itu,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin BN termasuk Najib telah diseret ke mahkamah sebaik Pakatan Harapan menang pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Ahmad Zahid ketika ini masih dalam perbicaraan terhadap berpuluh tuduhan kepada beliau manakala Najib pula sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan berhadapan beberapa pertuduhan lagi di mahkamah.- MalaysiaGazette