Polis Melaka sedang memburu dua lelaki yang dipercayai aktif dalam jenayah pecah cermin kereta sekitar pusat bandar Melaka melibatkan 10 mangsa dalam tempoh dua hari.

MELAKA – Polis Melaka sedang memburu dua lelaki yang dipercayai aktif dalam jenayah pecah cermin kereta sekitar pusat bandar ini melibatkan 10 mangsa dalam tempoh dua hari.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kedua-dua suspek dianggarkan berusia lingkungan 20-an dan 30-an berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Setakat ini kita cuba menjejaki dua suspek lelaki terbabit yang dipercayai rakan sejenayah dan meminta orang ramai menghubungi polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat.

“Kita percaya, kedua-duanya dapat membantu siasatan berhubung 10 laporan polis yang diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah melibatkan kes pecah cermin kereta pada Rabu dan Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, polis meminta orang ramai berwaspada dengan kewujudan geng pecah cermin kereta yang aktif melakukan jenayah itu pada musim cuti persekolahan.

Kejadian direkodkan berlaku di sekitar Banda Hilir, Tengkera, Malim dan Batu Berendam yang menyaksikan semua mangsa dianggarkan mengalami kerugian hampir RM20,000.

Modus operandi digunakan suspek adalah dengan memecahkan cermin kereta yang dilihat mempunyai barang berharga sebelum melarikannya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast