KUALA LUMPUR – Jurulatih Terengganu FC meminta maaf kepada para penyokong Skuad Peteh yang datang dari jauh menyokong pasukan namun dikecewakan apabila pasukan itu kalah di pentas final.
Luahan itu disuarakan Mohd Nafuzi Mahammad Zain kepada puluhan ribu penyokong pasukannya selepas Terengganu FC dikecewakan 1-3 oleh Johor Darul Ta’azim FC (JDT FC) dalam perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Disebalik kekecewaan tidak dapat membawa semula piala yang pernah dimenanginya sedekad lalu, namun jurulatih muda itu bangga dengan aksi luar biasa dan semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya.
“Maaf sejujurnya kepada semua penyokong Skuad Peteh yang datang jauh dengan harapan menang semula piala selepas 10 tahun tetapi dikecewakan, saya kecewa juga tetapi kami sudah memberikan yang terbaik.
‘Malah saya juga sangat bangga dengan anak-anak skuad saya kerana berjaya sampai sehingga ke pentas akhir Piala FA kali ini.
“Ini perlawanan yang perlu diakui berbeza dengan liga biasa, selain pasukan dibarisi majoriti pemain muda tidak berpengalaman berdepan JDT FC sebuah pasukan gergasi dan dibarisi pemain berpengalaman dan berkualiti.
“Dari segi tekanan, kita nampak ada sedikit perbezaan dari segi pendekatan permainan berbanding dengan aksi JDT, tetapi kita sudah memberikan yang terbaik berdepan JDT yang beraksi menggunakan corak permainan high pressing,” kata beliau dalam sidang media selepas perlawanan akhir malam tadi.
Mengulas permainan JDT FC, beliau mengakui JDT cukup sempurna dari segala posisi dan aspek berkualiti atas padang sehingga menyukarkan anak buahnya.
Ditanya mengenai corak taktikal permainan yang digunakan, Mohd Nafuzi menjelaskan, dengan pasukan-pasukan lain sebelum ini Terengganu FC lebih menguasai bola dan menyerang atas padang.
Pun begitu, Mohd Nafuzi berkata, kualiti pasukannya di bahagian tengah mengawal bola agak baik malam tadi cuma kelembapan untuk mengatur strategi menyerang mengakibatkan penyerang lambat menerima bola untuk merancang serangan balas lalu menjejaskan peluang pasukannya.
“Tetapi kekalahan ini satu pengalaman sangat berharga untuk semua anak muda saya yang beraksi dalam pentas akhir julung kali, ini akan memberi sedikit kemahiran untuk mereka bersiap sedia untuk aksi-aksi final pada masa akan datang,” ujar beliau.
Mohd Nafuzi berkata, beliau meramalkan peluang Terengganu FC lebih cerah sekiranya Tchetche Herman menjaringkan gol awal.
“Ini kerana jaringan gol pertama untuk mengurangkan defisit dan selepas JDT jaringkan gol kedua, kami masih mempunyai tenaga tambahan untuk mengikat kedudukan tetapi gol ketiga itu ranapkan harapan.
“Penjaga gol kami tidak sepatutnya melepaskan gol ketiga, itu kesilapan.. dia tidak sepatutnya keluar awal, ‘judgement’ dia silap,” ujar beliau.
Namun, beliau percaya, permainan semalam akan mematangkan pemain mudanya untuk meningkatkan mutu permainan.
Selepas ini, tambah beliau, Terengganu FC akan memberi fokus kepada Liga Super Malaysia untuk menamatkan saingan dalam tiga terbaik bagi melayakkan ke kempen Piala Konfederasi Asia (AFC). – MalaysiaGazette