Dr. Ahmad Zahid Hamidi.-Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerusi yang pernah ditandingi oleh bekas komponen Barisan Nasional (BN) seperti Gerakan bukan menjadi milik mana-mana parti, kata Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Oleh itu, beliau menengaskan kerusi tersebut tidak wajar dituntut oleh mana-mana parti.

Sebaliknya, BN akan menentukan parti yang dipilihn untuk bertanding di kerusi terbabit.

“PRU-15 kerusi-kerusi yang dipunyai bekas-bekas rakan kita dulu bukan menjadi hak mana-mana parti untuk menuntut kerusi itu tetapi hak kepada BN untuk menentukan dan memberikan kepada mana-mana parti,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Makkal Sakti Malaysia hari ini.

Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri R. S. Thanenthiran berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan kali Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

Ahmad Zahid memberi reaksi terhadap Ucapan Dasar Presiden Makkal Sakti R. S. Thaneenthiran yang menegur MCA kerana mahu memiliki kerusi-kerusi yang pernah ditandingi oleh Gerakan sebelum ini.

“Semalam di Pulau Pinang Datuk Seri, dalam konvensyen MCA beliau (Datuk Seri Wee Ka Siong) menyatakan kerusi-kerusi Gerakan semuanya terbuka. Jadi apa gunanya kami di sini?

“Kalau semua dia (MCA) sapu, apa gunanya kami di sini? Kami parti politik. Kita hormat Pengerusi dan BN tapi jangan ambil mudah pada kami.

“Kami ada maruah. Kita tidak akan biarkan orang menganaktiri dan memperkecilkan kami atau mempersendakan kami,” kata Thanenthiran.

Dalam ucapannya, Thanentiran turut mengungkit janji Ahmad Zahid yang mahu membenarkan calon Makkal Sakti bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor tetapi tidak ditunaikan.

Ahmad Zahid dalam reaksinya berkata, beliau semenangnya berhasrat memberikan kerusi kepada parti Friends of BN untuk bertanding tetapi terdapat sebab mengapa ia tidak ditunaikan.

Alasan tersebut telah dinyatakan kepada rakan-rakan parti terbabit.

“Saya menghormati Makkal Sakti dan rakan-rakan saya Friend of BN. Azam saya dalam PRN di Johor memang saya berhasrat beri kerusi-kerusi pada rakan-rakan Friend of BN tetapi presiden tahu kenapa. Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa dalam perkara ini,” kata Ahmad Zahid.

Justeru untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti, Ahmad Zahid akan memastikan hanya mereka yang mempunyai sikap setia kawan sahaja akan menjadi sekutu BN.

“Saya tidak mahu rakan-rakan yang dikategorikan sebagai fair-weather, when the weather is fair you are my friend.

“Keadaan itu telah berlaku sebab itu saya kenal siapa kawan, siapa lawan.

“Dalam kawan ada musuh, dalam musuh ada kawan. Kita hanya ambil kawan-kawan sahaja. Sama ada yang dari luar atau dari dalam,” kata Ahmad Zahid.- MalaysiaGazette