Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Program Pentas Interaksi Anak Muda di Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lupur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan meneliti Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan kerajaan pada 7 Oktober ini menerusi Mesyuarat Majlis Presiden dalam tempoh terdekat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan mengenai perkara itu telahpun bermula dan hanya akan dibawa ke mesyuarat berkenan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Berkenaan dengan belanjawan ini saya telah beritahu berbeza pada tahun-tahun sebelumnya.

“Perbincangan itu adalah di saat akhir kerana bila dimajukan, diawalkan tarikh belanjawan masa itu belum ada perbincangan. Jadi, kita tetap dengan pendirian kita,” katanya ketika ditemui selepas sesi Townhall, Pentas Interaksi Anak Muda Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan haruslah bertanggungjawab dan mesti mengambil kira berkenaa masalah rakyat terutama yang miskin serta perubahan-perubahan struktur.

Bagaimanapun, ia perlulah mempunyai prinsip serta tatakelola yang seimbang.

“Masalahnya ialah, kita umumkan projek-projek semua menteri-menteri ni dia ketagih macam-macam projek, tapi tidak ada ketelusan…jadi, ini juga harus kita tekan,” ujarnya.

Sebelum ini, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyifatkan tindakan kerajaan menjadualkan semula pembentangan Belanjawan 2023 bukanlah sesuatu yang di luar kelaziman, namun dakwanya, ia petanda Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan tekanan dari dalam parti.

Katanya, proses penyediaan Belanjawan 2023 tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang turut melibatkan PH bagi membincangkan isu-isu pokok seperti percukaian.

Anwar berkata, rakyat memerlukan mandat yang lebih kuat dan bukannya Perdana Menteri yang terpaksa bertindak mengikut tuntutan partinya.

Sementara itu Anwar berkata, penjadualan semula Belanjawan 2023 daripada tarikh asal menunjukkan Pilihan Raya Umum (PRU) hampir dekat untuk diadakan.

Katanya, PH menjangkakan ia bakal berlaku penghujung Oktober depan atau mungkin pada awal November.

“Kemungkinan itu ada, sebab dipercepatkan (diadakan PRU). Cuma saya telah beritahu bahawa seorang Perdana menteri tidak boleh menetapkan pilihan raya atas dasar ugutan oleh pihak kecil dan kepentingan mereka untuk menutup kes mahakamah dan sebagainya.

“Kita dalam keadilan (PKR) umpamanya ada jentera pilihan raya yang sudah dikerahkan dan dalam PH pun kita telah mulakan rundingan. Banyak kejayaan dari segi pembahagian kerusi dan strategi bersama.

“Jadi, kita telah bersiap sedia untuk menentukan bahawa jentera pilihan raya siap sebelum itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast