Antara ahli Skuad Waja Kebangsaan yang memengang plakad ketika hadir ke Perhimpunan Semarak Skuad Waja Kebangsaan 2022 Prihatin Rakyat di Maeps Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

SERDANG – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun mensasarkan Keahlian Skuad Waja mencecah 1 juta orang pada tahun depan.

Peningkatan itu dilihat konsisten kerana ia menerima sambutan yang memberangsangkan bukan sahaja dalam kalangan kaum wanita, malah juga lelaki.

“Kita nak penderaan kepada wanita dihapuskan wanita disayangi dilindungi bukan untuk disakiti.

“Saya harap ahli Skuad Waja akan terus menyampaikan maklumat, jadi rakan-rakan kepada wanita-wanita di luar sana, jadi mata dan telinga dan bina keyakinan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Semarak Skuad Waja Kebangsaan 2022 yang bertemakan Prihatin Rakyat yang dihadiri oleh lebih kurang 5,000 orang ahli seluruh negara.

Katanya, sehingga Ogos 2022 seramai 326,500 orang telah berdaftar sebagai ahli sukarelawan Skuad Waja.

Daripada jumlah berkenaan, 74,361 orang dalam kalangan kaum lelaki.

Mengulas lanjut sambutan itu, Rina gembira skuad berkenaan diterima baik kerana bukan mudah untuk memimpin kementeriannya kerana ada sahaja perkara dibuat dikritik, dikecam dan tidak dilihat.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) akan menambahbaik Model Skuad Wajah 2.0 dengan memberi fokus kepada isu dan situasiĀ  lebih khusus yang memerlukan kemahiran spesifik.

Jelasnya, modul yang ditambah baik ini merangkumi Bantuan Awal Psikologi dan Psikospiritual.

“Untuk makluman, modul ini telah dibangunkan oleh JPW bersama pakar-pakar, ahli akademik, pakar perubatan dan psikiatri selain rakan strategik daripada Jabatan Kemajian Islam Malaysia (Jakim),” katanya lagi.

Skuad Waja ditubuhkan pada Januari tahun laluĀ  untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah dan menyediakan bantuan awal kepada mangsa khususnya menangani keganasan atau penindasan.

Penubuhannya bertitik tolak daripada kes keganasan yang dilihat meningkat sewaktu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang Covid-19 sebelum ini.- MalaysiaGazette