GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Foke menegaskan tiada perbincangan dibuat berhubung pencalonan wanita sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Malah, ketika diminta mengulas sama ada wujud perbincangan mengenai perkara tersebut, Anthony memaklumkan tiada sebarang cadangan berkenaan isu itu didengarinya setakat ini.
“Saya belum dengar lagi cadangan tersebut (isu calon wanita sebagai ketua menteri) dan ini sesuatu yang baru buat saya,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DAP Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow serta veteran DAP, Lim Kit Siang.
Sebelum ini wujud desas-desus mengenai DAP Pulau Pinang bakal menempatkan calon wanita sebagai ketua menteri bagi mengangkat serta memperkasakan peranan kaum hawa itu dalam parti politik. – MalaysiaGazette