KUALA LUMPUR – Di sebalik kemenangan Johor Darul Ta’zim (JDT)menjulang Piala FA 2022 selepas menewaskan Terengganu 3-1 semalam, terdapat senario yang mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Ini kerana sebelum perlawanan bermula, tular di media sosial mengenai video penutupan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan kanvas yang berwarna hijau, sekali gus menimbulkan tanda tanya kalangan penyokong.
Kanvas tersebut sebenarnya milik Stadium Larkin dan ia adalah langkah proaktif diambil pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau TMJ bagi memastikan kelancaran final Piala FA tanpa berhadapan masalah padang basah.
Tindakan Tunku Ismail meminjamkan kanvas kepada pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil turut mendapat pujian para peminat bola sepak tempatan kerana ia langkah yang tepat susulan hujan pada sebelah petang berkemungkinan mengakibatkan padang becak.
Sebelum ini, padang stadium tersebut rosak teruk ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 sehingga mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.
Ekoran insiden itu, Perbadanan Stadium Malaysia(PSM) dikecam teruk kerana menggunakan penyodok untuk mengeluarkan air daripada permukaan padang.
Tunku Ismail merupakan individu yang sentiasa menitik berat mengenai keadaan padang di stadium tersebut memandangkan ia adalah stadium terbesar di negara ini.
Buktinya, beliau mengumumkan akan menaja kos penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysiaagi menggantikan rumput Cow Grass di padang SNBJ.
Mengikut perancangan, proses penukaran rumputan di SNBJ akan bermula pada bulan Mac 2023.
Rumput jenis ‘cowgrass’ ketika ini tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden kerana mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut.
Ia juga menjadi masalah apabila terjahan dilakukan kerana rumput itu akan mudah tercabut.
Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu.
Dia menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar. – MalaysiaGazette