Ketua Cabang PKR Ampang,Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali Altimet ketika bersorak pada Program Ceramah Rapat Mega Keadilan di Taman Melawati Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

TIDAK mengejutkan apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengungkapkan ‘insya-Allah kami sumbat kamu dalam penjara’ dalam ceramah Rapat Mega Keadilan yang berlangsung di Parlimen Gombak malam tadi.

Rapat Mega Keadilan adalah satu siri jelajah kempen pilihan raya parti itu untuk menarik semula sokongan rakyat kepada PKR dan PH.

Hukuman dan penjara adalah lafaz yang biasa didengar dalam kempen-kempen pilihan raya Pakatan Harapan. Jadi tidak hairan jika perkataan itu keluar daripada mulut Rafizi atau mana-mana pemimpin PKR.

“Saya nak beritahu nak beritahu kepada rakyat Malaysia kepada Datuk Seri Ismail Sabri lagi lama kamu ratib nak masuk pilihan raya, lagi dekat kita nak masuk tengkujuh lagi besar peluang Keadilan untuk menang pilihan raya.

“Sebab itu malam ini kita tunjukkan, minggu depan kita tunjukkan, minggu lepas itu kita tunjukkan kalau kamu berani panggil pilihn raya masa banjir, kamu panggil. Insya-Allah kami sumbat kamu dalam penjara lepas pilihan raya,” kata Rafizi.

Ketika berpeluang memerintah selama 22 bulan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 Kerajaan Pakatan Harapan membuktikan kata-kata mereka sebelum itu, yang mahu menghukum pihak tertentu yang didakwanya korup, rasuah dan salah guna kuasa.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara contoh musuh politik PKR dan PH yang telah dipenjarakan selepas dibicarakan di mahkamah.

Selain Najib, Rafizi juga menunggu untuk melihat isteri Najib, Datuk Seri Rosmah Mansor dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dimasukkan ke dalam penjara.

“Saudara saudari tahu orang sibuk pasal harga barang naik, harga barang jatuh. UMNO sibuk menangis.

“Depa menangis untuk Najib, kemudian dia menangis untuk Rosmah sekarang saya nak nasihatkan kawan-kawan dalam UMNO tolong simpan air mata sikit sebab kamu akan menangis untuk Zahid pula,” kata Rafizi.

Antara penyokong yang hadir ke Program Ceramah Rapat Mega Keadilan di Taman Melawati Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

Ceramah yang disampaikan oleh Rafizi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penerangan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam Rapat Mega Keadilan memperlihatkan PKR ibarat harimau yang cedera.

Parti itu kini nekad mahu menjatuhkan ‘pengkhianat parti’ yang telah menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Dua nama bekas pemimpin parti itu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin jelas menjadi sasaran utama dalam PRU-15.

“Dengar sini baik-baik rakan-rakan kita di Gombak, Ampang dan sekutu-sekutu.

“Dalam strategi pilihan raya kita kawasan yang paling kuat kita akan menyerang ialah kawasan yang dipilih oleh rakyat, yang dipilih untuk membela nasib rakyat, yang dipilih ada persamaan dengan prinsip perjuangan keadilan rakyat kemudian mengkhianati mereka, sebab itu kawasan tersebut menjadi tumpuan kita supaya kita menghukum dan menghumbankan mereka. Boleh?” kata Anwar.

Manakala Fahmi berkata, “Azmin Ali aku harap kau tengok ini. Ampang Zuraida where are you? Dua dua ini. Dulu ingat Zuraida kata bye-bye pada kita. Dua kerusi ini dan beberapa kerusi kembali kepada Pakatan Harapan. Insya-Allah PH akan menang”.

Anwar, Rafizi dan Fahmi kelihatan garang seperti harimau cedera yang akan bertindak liar kepada sesiapa yang mendekati.

PKR berazam untuk memperoleh kemenangan selepas Kerajaan Persekutuan yang dimenangi mereka semasa pilihan raya, tidak disangka-sangka dijatuhkan dengan cara pembelotan.

Kerajaan itu tumbang bukan sahaja disebabkan oleh Azmin, Zuraida dan sembilan bekas ahli Parlimen PKR yang lain tetapi juga oleh pemimpin dan ahli Parlimen Bersatu yang bertindak keluar daripada gabungan PH.

Mungkin bukan sedikit rasa sakit hati yang ditanggung oleh pemimpin PKR dan PH sehingga hari ini, kerana mereka dijatuhkan ketika sedang enak memerintah dan menjadi Kerajaan.

Pembelotan tersebut menyebabkan mereka tiba-tiba menjadi pembangkang semula.

Mungkinkah mereka menyimpan dendam yang mendalam dan mahu membalasnya jika ada peluang?

Apa nasib Azmin, Zuraida dan mungkin juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad jika PH menang?

Adakah mereka akan ‘dihukum’ jika PKR dan PH menempa kemenangan semula dalam PRU-15 akan datang?

Mereka tidak seharusnya memandang rendah dengan PKR dan PH. Harimau yang cedera pasti akan bertindak lebih jauh daripada yang mereka jangkakan. – MalaysiaGazette