Gambar hiasan

KANGAR – Pengagihan mengikut “kerusi tradisi”  dalam Barisan Nasional (BN) sudah tidak wujud, kata Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Katanya, cara pengagihan yang lama sudah tidak relevan dan pemimpin BN masa kini hanya akan mengumumkan hasil pengagihan pada masa yang sesuai.

Beliau berkata, berbanding “cara lama”, MCA akan menghormati mekanisme BN dan keluarga besar BN yang  harmoni.

Ka Siong menegaskan, MCA akan berbincang secara dalaman dengan pemimpin-pemimpin BN mengenai soal pengagihan.

” Saya mahu meminta semua bahagian MCA untuk terus berkhidmat dalam kerusi tradisi kami termasuk di Seremban untuk memastikan kemenangan dan merampas semula kerusi yang kami kalah.

“Saya bagaimanapun tidak akan berunding melalui media atau menjerit melalui media dalam usaha mempertahankan kerusi tradisi kami,” katanya dipetik Sinchew Daily selepas merasmikan persidangan MCA Perlis di Kangar.

Ka Siong berkata, pada masa ini hanya kedengaran gendang perang pilihan raya dari semasa ke semasa, tetapi sangkakala perang belum ditiupkan.

“Kami (BN) pasti akan mengumumkan senarai calon sebelum hari penamaan dan mereka yang menerima watikah merupakan calon kami,” katanya.

Mengenai hasrat Pas untuk bekerjasama dengan UMNO, Ka Siong berkata, setiap parti mempunyai hak untuk berunding dengan parti lain.

“Walau bagaimanapun, pasukan BN telah terbentuk sejak awal merdeka lagi dan kami bergerak secara serentak dan selangkah.

“Sebagai keluarga besar, semangat dan persefahaman BN harus diutamakan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette