Cheng San (tengah) bersama pegawai kananya menunjukkan gambar amah yang melarikan barang kemas bernilai RM69,000 pada sidang media di IPD Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM –  Seorang pembantu rumah warga asing yang baru tiga bulan bekerja melarikan diri bersama pelbagai barang kemas milik majikannya bernilai RM69,000 di Taman Bukit di sini, pada 8 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kejadian itu disedari pengadu yang juga doktor  berusia 33 tahun selepas dua hari suspek wanita itu melarikan diri.

Jelas beliau, kakitangan kerajaan itu hanya membuat laporan kehilangan pembantu rumah yang digajikan sendiri tanpa ejen pada 8 September sebelum membuat laporan kedua mengenai kehilangan barang kemas itu dua hari kemudian.

Cheng San (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD SPT, DSP Raja Munawir Shah Raja Harun.

Kata beliau, pasangan suami isteri yang merupakan kakitangan kerajaan itu hanya menyedari barang kemas mereka hilang ketika mahu mengambilnya dalam sebuah almari untuk digunakan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa melarikan sebentuk gelang emas bernilai RM12,000; empat pasang subang emas (RM6,000); satu loket emas (RM1,000) serta lima rantai emas pelbagai jenis bernilai keseluruhan (RM50,000).

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek membuka almari yang ditempatkan dalam sebuah bilik asing itu menggunakan kunci susulan tiada  kesan umpil pada almari tersebut.

“Selain itu, pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati suspek keluar rumah tersebut pada jam 1 pagi hari kejadian menaiki sebuah kereta yang menunggunya di hadapan rumah majikan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Mengulas lanjut Cheng San berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek baru tiga bulan memasuki negara dan bekerja dalam tempoh sama dengan mangsa.

“Usaha mengesan suspek yang dikenali sebagai  Eka Lestari, 27 tahun itu sedang giat dijalankan termasuk kereta yang membawa wanita itu dari rumah majikannya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubung pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail di talian 019 290 9231 bagu membantu siasatan.

“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar menggunakan ejen yang sah bagi menggajikan amah bagi mengelakan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast