Anwar Ibrahim.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anawar Ibrahim menyifatkan kempen Rapat Mega Keadilan yang memulakan edisi pertamanya dengan menyerang kerusi ‘pengkhianat Gombak’ merupakan permulaan baik kempen pilihan raya parti itu.

Anwar lega kerana ia menjadi satu isyarat bahawa rakyat akan menghumban bekas pemimpin parti itu yang melanggar amanah dan prinsip perjuangan parti kerana keluar daripada PKR.

Selain Parlimen Gombak yang disandang bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, turut menjadi sasaran utama adalah Parlimen Ampang.

Kerusi Parlimen Ampang kini disandang oleh bekas Ketua Wanita PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Anwar berkata, strategi pilihan raya PKR kali ini adalah menyerang dengan kuat di kawasan 11 bekas ahli Parlimen PKR yang dilabel sebagai pengkhianat dengan matlamat untuk menghukum mereka.

“Malam ini saya rasa lega. Kita datang untuk menyerang kawasan pengkhianat. Ini permulaan yang baik. Satu signal bahawa betapa pun rakyat menyokong mana-mana pimpinan tetapi sebaik mereka melanggar prinsip, sebaik mereka khianat pada amanah perjuangan kita akan humban mereka.

“Dengar sini baik-baik rakan-rakan kita di Gombak, Ampang dan sekutu-sekutu.

“Dalam strategi pilihan raya kita kawasan yang paling kuat kita akan menyerang ialah kawasan yang dipilih oleh rakyat, yang di pilih untuk membela nasib rakyat yang dipilih  sama ada dengan prinsip perjuangan keadilan rakyat kemudian mengkhianati mereka sebab itu mereka kawasan itu menjadi tumpuan kita supaya kita menghukum dan menghumbankan mereka. Boleh?” kata Anwar dalam ucapannya.

Anwar Ibrahim (tengah) bersama, Rafizi Ramli (lapan kiri) dan Amirudin Shari (empat kanan) ketika melaungkan ‘Reformasi’ pada Program Ceramah Rapat Mega Keadilan di Taman Melawati Gombak, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 SEPTEMBER 2022.

Pada 24 Februari 2020 11 Ahli PKR keluar daripada PKR hingga menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan yang dimenangi pada pilihan raya Mei 2018 tumbang dan digantikan dengan Kerajaan Perikatan Nasional yang kekal sehingga hari ini.

Selain Mohamed Azmin dan Zuraida turut keluar adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Anwar berkata, Gombak akan terus kekal menjadi kubu kuat PKR dan menegaskan parti itu boleh kembali menerajui kerajaan dengan syarat ahli PKR bekerja dengan lebih kuat.

“Ada orang kata kami dah beri peluang pada 2018. Ya betul 2018 ada peluang, peluang itu diambil oleh Tun Dr. Mahathir. Janji pun tak tunai. Tak apa.

“Kita tahu ada keupayaan kita ubah dan yang kita sekarang tolak sikit sahaja lagi. Tolak sikit lagi. Kalau saudara kerja lebih ada hasil. Perlu sikit lagi.

“Dan sekarang ini kepimpinan kita ini kalau lihat timbalan dan menteri besarnya, semua generasi kedua. Orang muda, pintar, kuat kerja dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang pendidikan, artis jadi ada warna yang berbeza. Ustaz pun ramai,” kata Anwar.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast