Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin bercakap kepada media selepas meninjau kawasan berisiko banjir bagi persediaan monsun timur laut dan fenomena air laut pasang besar bagi bulan September hingga Disember ketika di Pengkalan Nelayan Tok Muda Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2022.

KAPAR – Susulan Fenomena Air Laut Pasang Besar yang bermula September hingga Disember ini, keadaan ban kunci pintu air mahu pun benteng sungai di sekitar Klang didapati masih kukuh dan dalam keadaan baik.

Pegawai Daerah Klang, Shahman Jalaludin berkata, meskipun terdapat kerosakan kunci pintu air sungai namun ia tidak menjejaskan fungsi benteng sungai itu jika berlaku limpahan air laut.

“Laporan yang saya terima setakat ini tiada (ban pecah), maknanya ban kita mampu menampung 5.5 meter (paras air laut).

“Sebenarnya pagi tadi paras air laut mencecah 5.46 meter, jadi ia tidak melepasi ban-ban kita.

“Kerosakan kecil itu biasa tapi Jabatan Air dan Saliran (JPS) sudah bertindak awal pagi tadi dan baiki kerosakan itu,” katanya pada sidang media di Pengkalan Nelayan Tok Muda hari ini.

Anggota Bomba meninjau kawasan berisiko banjir bagi persediaan monsun timur laut dan fenomena air laut pasang besar bagi bulan September hingga Disember ketika di Pengkalan Nelayan Tok Muda Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 12 SEPTEMBER 2022.

Terdahulu beliau bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), JPS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) meninjau keadaan ban Sungai Kapar Besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda.

Berdasarkan kepada Laporan Tinjauan Cuaca bagi Tempoh September 2022 hingga Februari 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Selangor dijangka menghadapi peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut.

Peralihan monsun dijangka membawa kepada peningkatan jumlah terimaan hujan dan berisiko terjadinya bencana banjir.

Berdasarkan ramalan, Selangor dijangka menerima taburan hujan di antara 100-400 mm secara purata mulai pertengahan September ini.

Dalam tempoh sama, Fenomena Air Pasang Besar juga dijangka berlaku di kawasan persisir laut sepanjang Pelabuhan Klang, Selangor.

Berdasarkan ramalan yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional, Pulau Indah, Klang, paras air laut tertinggi dijangka mencapai paras 5.5 meter.

Kedua-dua fenomena tersebut boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke sekitar kawasan penempatan dan membawa kepada risiko bencana banjir di kawasan penempatan penduduk. – MalaysiaGazette