PETALING JAYA – DAP tidak menggalakkan perletakan bidan terjun dalam pilihan raya akan datang melainkan ada keadaan spesifik yang memerlukan pencaturan khusus, kata setiausaha agung parti itu, Anthony Loke.
Anthony berkata, sebelum ini, bidan terjun telah dihantar ke Johor sebagai “peneroka” kerana negeri itu dikuasai parti lawan.
Jelasnya, dengan kebanyakan kerusi telah ditawan DAP, maka amalan terdahulu yang menghantar bidan terjun ke “kawasan baharu” parti itu sudah tidak lagi relevan.
“Dahulu DAP belum menawan Johor, jadi boleh menghantar dua tiga calon dari kawasan lain ke situ untuk meneroka.
“Sekarang kerusi berkenaan telah dimenangi dan DAP perlu berakar situ, maka keadaan juga menjadi sukar untuk menghantar calon dari negeri lain ke Johor.
“Johor mempunyai orangnya sendiri dan sudah mempunyai wakil rakyat DAP sedia ada, mereka perlu mempertahankan kerusi masing-masing,” katanya kepada Sinchew Daily.
Ditanya desas-desus bahawa Tony Pua akan bertukar dari Petaling Jaya di Selangor ke Ayer Hitam di Johor bagi menghadapi Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Anthony mengakui terdapat cadangan daripada akar umbi untuk berbuat demikian.
Jelasnya, kemungkinan itu bagaimanapun belum dibincangkan oleh pemimpin parti atau dibincangkan dengan Tony.
Mengenai kemungkinan Yeo Bee Yin mempertahankan kerusi Bakri di Johor, Anthony pula berkata, keadaan itu bergantung kepada puan punya badan dan kehendak ahli keluarganya.
Anthony juga berkata bahawa beliau tidak pernah dengar tentang kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu ditukar dari Selangor ke kerusi Parlimen Raub, Pahang.
Kata Anthony, DAP secara keseluruhannya telah mengaturkan perletakan calon, tetapi keputusan akhir belum dibuat.
“Calon hanya boleh ditetapkan selepas pembubaran Parlimen kerana terdapat banyak ketidaktentuan lagi pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette