PUTRAJAYA – Selepas merekodkan 148 kes warga negara Malaysia yang ditipu sindiket kerja di negara asing, Kementerian Luar mengambil inisiatif untuk menggerakkan kempen advokasi mengenai natijah sindiket scammer.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra akan secara proaktif menjalankan kempen tersebut kepada orang awam mengenai sindiket penipuan kerja di negara asing.
“Kita telah mengaturkan beberapa temuramah dengan TV dan akhbar tempatan untuk menyebarluaskan lagi soal rakyat Malaysia yang tertipu dan terpedaya di negara luar termasuk Kemboja.
“Melalui kempen sedemikian, kita bukan sahaja dapat mendidik masyarakat mengenai penipuan kerja, sebaliknya dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia untuk mendapatkan peluang pekerjaan di luar negara melalui saluran yang betul serta dipercayai,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Buku Himpunan Genta Rasa oleh Jufitri Joha di kementeriannya, hari ini.
Jumaat lalu, Kementerian Luar mendedahkan seramai 148 rakyat negara ini menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja.
Daripada jumlah itu, seramai 118 berjaya diselamatkan setakat hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya mengambil serius mengenai perkara itu dan berusaha memastikan tiada lagi rakyat Malaysia yang terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan ini, kelak.
“Kita ambil serius soal scammer dan cara pengambilan pekerja yang dibuat dalam talian bagi menarik pekerja muda dari Malaysia keluar negara.
“Ada sejumlah yang tertipu dan buat masa ini negara yang menjadi lokasi terbesar adalah di Kemboja, baru-baru ini kita telah selamatkan 53 orang, 24 sudah bawa balik dan 29 lagi sedang diproses urusan untuk pulang ke Malaysia.
“Nasihat kita jangan mudah terpedaya kerana cara mereka ini licik dan tawarkan kerja yang glamor, bergaji besar dan ada macam-macam keistimewaan dan kemudahan,” katanya.
Pada April lepas, Malaysia membawa pulang 12 rakyatnya dari Kemboja yang mana kebanyakan mereka terjebak dalam penipuan pekerjaan yang sama. – MalaysiaGazette