MELAKA – Selepas tiga tahun menghentikan operasi akibat pandemik Covid-19, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, di sini, akhirnya kembali bernafas hari ini apabila menerima penerbangan sulungnya hari ini.
Lebih bermakna, ia juga merupakan penerbangan pertama Batik Air menggunakan pesawat ATR-72 membawa 38 penumpang dari Pulau Pinang mendarat tepat pada jam 11.25 pagi yang disaksikan Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Menurut beliau, kejayaan itu hasil perbincangan dengan pelbagai pihak di peringkat pusat dan antarabangsa bagi memastikan LTAM dapat beroperasi semula selepas pintu sempadan negara dibuka semula pada 1 April lalu.
“Penerbangan domestik dan antarabangsa dari Pulau Pinang dan ke Pekanbaru, Indonesia melalui syarikat penerbangan Batik Air ini adalah yang pertama setelah hampir tiga tahun LTAM tidak beroperasi.
“Selepas ini, orang ramai khususnya rakyat di Johor dan Negeri Sembilan boleh menggunakan perkhidmatan Batik Air setiap hari untuk ke Pulau Pinang pada harga serendah RM129 sehala atau IDR695,999 ke Pekanbaru, Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan Penerbangan Pertama Pesawat Batik Air ke LTAM, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, perkembangan baharu itu bakal menyaksikan Melaka mampu mencapai sasaran 5.6 juta pelancong menjelang Disember ini.
“Setakat Jun lalu, Melaka telah merekodkan kehadiran lebih 2.4 juta pelancong, meningkat 1.7 juta orang atau 234.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Jelas sekali, ini adalah satu permulaan yang baik kepada Negeri Melaka dalam mempergiatkan semula perkembangan ekonomi di dalam sektor pelancongan negeri,” katanya.
Selain itu, jelasnya Melaka turut meneroka pasaran baru bagi menarik lebih ramai pelancong dari India dan Brunei dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pelancong dari Asia Timur seperti China, Jepun dan Taiwan. – MalaysiaGazette