Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bapa kandung pelakon remaja,  Puteri Balqis yang sudah tamat tempoh reman oleh polis Subang Jaya kini ditahan pula oleh polis Shah Alam.

Penahanan itu bagi meneruskan siasatan dakwaan serangan seksual lelaki itu terhadap anaknya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, oleh kerana reman polis Subang Jaya tamat hari ini, suspek telah diserahkan pihaknya hari ini untuk mengambil alih siasatan kes.

“Esok, kami akan menghadapkan suspek di Mahkamah Shah Alam untuk permohonan reman baharu untuk meneruskan siasatan bagi satu lagi kes membabitkan mangsa yang sama iaitu memukul anak perempuannya dalam kejadian yang didakwa berlaku lapan tahun lalu.

“Mangsa (Putri Balqis) telah membuat laporan polis pada 8 September lalu di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bahawa dia dipukul suspek menggunakan penyangkut baju pada tahun 2014 dan suspek akan direman esok untuk disiasat dalam kes berkenaan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kandung Puteri Balqis direman bagi bantu siasatan

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata,  pihaknya telah mengambil keterangan daripada empat individu melibatkan pakar perubatan dan ibu mangsa bagi membantu siasatan kononnya pelakon remaja itu diganggu secara seksual oleh bapanya ketika berusia enam tahun.

Katanya, tangkapan itu dibuat selepas menerima satu laporan polis pada 5 September lalu  daripada mangsa yang menyatakan bahawa dia telah diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikannya.

Mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit suspek dan kejadian tersebut berlaku sejak tahun 2013 sehingga 2017.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah. – MalaysiaGazette