Antara ulama-ulama nusantara yang hadir pada Wacana Keilmuan Pondok di ISTAC, semalam.

KUALA LUMPUR – Realiti hari ini menyaksikan perkembangan sistem pendidikan sekular, ekonomi kapitalis, budaya hidup materialistik dan hedonistik telah membentuk suatu cabaran yang meminggirkan kewujudan sistem serta keaslian institusi pengajian pondok di tengah masyarakat.

Ini menyebabkan institusi pondok yang dahulunya masyhur sebagai benteng Islam dengan kualiti penguasaan ilmu syariah dan nilai kerohanian yang luhur, keikhlasan dalam dakwah serta tarbiyah umat serta teladan akhlak yang mulia, kini mengalami kemunduran dan makin diabaikan oleh pemerintah mahupun masyarakat awam.

Menurut jurucakap Pondok Model Nusantara Al-Isyraq (PMNI), Razali Daud, akibatnya kian terserlah dalam tiga model kehidupan umat Islam kini iaitu kehidupan rutin ritual Islam yang kosong tanpa nilai kerohanian, Islam pada lisan, ceramah, debat dan semangat perselisihan yang kerap melahirkan perpecahan dan Islam hanya pada simbol, sifat, pakaian dan slogan yang jauh dari kualiti serta nilai kemurnian Islam.

Menyedari akan maksud, fungsi serta peranan sejati institusi pondok dan amat pentingnya untuk memartabatkan kembali dalam arus semasa yang rencam ini, beliau berkata, beberapa misi utama perlu dititikberatkan terutama oleh ulama dan pencinta institusi pondok.

Razali Daud

“Misi itu ialah guru pondok perlu berusaha membina wibawa dan kebijaksanaan sebagai ulama panutan umat berteraskan kerohanian, keikhlasan, cinta akhirat dan kearifan hal setempat dan semasa.

“Mengukuhkan muafakat, kerjasama dan kebersamaan sesama guru pondok dan juga kerjasama dengan institusi, agensi sama ada kerajaan atau bukan kerajaan dalam usaha pembinaan murid dan membimbing umat serta memakmurkan negara.

“Guru pondok turut prihatin dalam memandu umat ke arah mengangkat kepimpinan yang baik, wibawa, berakhlak dalam setiap lapisan masyarakat. Kepimpinan yang baik akan mewujudkan kekuasaan yang baik untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Keilmuan Pondok: Pengaruh Keilmuan Pondok Dalam Kepemimpinan di Alam Melayu, di Dewan Utama ISTAC dekat sini, semalam.

Wacana dianjurkan PMNI dengan kerjasama ISTAC sempena konvokesyen pelajar PMNI dan meraikan sambutan Hari Malaysia.

Seramai 200 pencinta agama, bangsa dan tanah air mewakili anggota ulama dari Jam’iyah Ulama Fathoni, Yayasan Kerukunan Ulama Nusantara (YAKUN -Indonesia), Jamaah Tabligh, Pertubuhan Pondok dalam Malaysia, Nahdatul Ulama Malaysia (NAAM), aktivis masyarakat, alumni serta pelajar pondok dan madrasah, hadir.

Ucaptama wacana dibentangkan Pengasas yang juga Penaung PMNI, Syeikh Rohimuddin Nawawi Al Bantani dan disambut dengan kupasan serta komentar oleh Baba Abdullah dari Jam’iyah Ulama Fathoni; Ahmad Raqim dari Persatuan Guru Pondok Terengganu; Abuya Abu Aswad dari Madrasah Ahbabul Mustofa Kelantan; Ahmad Faiz wakil NAAM; Maulana Lutfi dari Madrasah Tabligh Sri Petaling; dan Sulthon dari Indonesia. Moderator wacana ialah Tengku Ahmad Ridhauddin pelajar PhD ISTAC.

Menurut Razali, misi itu turut mencakupi usaha memantapkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara institusi pondok serta pesantren di seluruh nusantara.

Beliau berharap, wacana itu menjadi cetusan pelengkap kepada usaha dari pelbagai pihak untuk melahirkan kembali generasi yang mampu melanjutkan keindahan dan kesyumulan Islam di bumi nusantara ini.

Menurutnya, lipatan sejarah alam Melayu sebelum campur tangan atau penjajahan asing jelas mencatatkan pengaruh ulama dan institusi pondok dalam kepimpinan serta pembangunan masyarakat dan negara.

Katanya, pada era perjuangan menentang penjajah dan fasa kemerdekaan juga masih terdapat fakta dan bukti nyata pengaruh serta penglibatan kalangan ulama dan komuniti pondok atau pesantren di Indonesia walaupun kurang dimasyhurkan dalam teks silibus pendidikan moden. – MalaysiaGazette