Muhammad Haqimi Azim Rosli

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak memuji penyerang muda, Muhammad Haqimi Azim Rosli yang tidak mensia-siakan peluang diberi untuk membantu pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super kelmarin.

Meskipun perlawanan itu agak mencabar dengan keadaan padang yang basah namun barisan pemain tetap mencari peluang untuk menjaringkan gol sehingga Haqimi berjaya memecah kebuntuan pada minit 31.

Bagi Hodak, Haqimi yang berusia 19 tahun itu membuktikan kemampuannya apabila peluang diberi untuk membarisi kesebelasan utama dan berharap dia mampu untuk meneruskan momentum pada aksi-aksi akan datang.

“Sangat penting untuk kita menang perlawanan ini walaupun agak penat sedikit bermain dengan keadaan padang yang basah.

“Separuh masa kedua mereka bermain dengan lebih baik dan saya gembira dengan pasukan terutamanya Haqimi kerana ini kali kedua dia bermain dan benar-benar menggunakan peluang ini sebaiknya.

“Kami meminta dia untuk menggunakan kelajuan yang dia ada dan dia sebenarnya nak menjaringkan lagi gol untuk pasukan. Ini penting untuknya bina keyakinan dan meningkatkan lagi kualiti permainan,” jelasnya.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang, Dollah Salleh pula menyifatkan aksi anak buahnya serba tidak menjadi dan mereka perlu segera bangkit untuk mendapatkan kembali momentum kemenangan selepas ini.

“Serba tidak menjadi dengan keadaan padang yang basah jadi pemain juga tidak dapat nak sesuaikan diri dan kita tahu lawan kita memang berpengalaman.

“Saya juga pernah cakap sebelum ini bukan senang nak lawan dengan Kuala Lumpur dan pemain kita kalah dari segi pengalaman dengan mereka,” katanya.

Kuala Lumpur kini di kedudukan kelima Liga Super dengan 25 mata manakala Sri Pahang di tangga ketujuh dengan 21 mata. – MalaysiaGazette