Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong

SEPANG – Laporan siasatan awal kemalangan membabitkan helikopter Eurocopter EC120B yang meragut nyawa juruterbang akan diketahui dalam masa 30 hari.

Menteri Pengangkutan (MOT), Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, laporan lengkap akan diketahui dalam tempoh setahun sekiranya wujud kelemahan dan pelanggaran peraturan.

“Mulai semalam (kes) diambil alih Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dan saya akan dapatkan laporan awal dan saya akan maklumkan kepada pihak media, untuk maklumat awal. Maklumat awal siapa punya helikopter, punca dalam masa 30 hari.

“Dalam tempoh setahun, apa-apa kelemahan sekiranya ada pelanggaran peraturan akan dimaklumkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan tindakan selanjutnya setelah laporan akhir didapati,” matanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), di sini, hari ini.

Semalam, juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan KLATCC dan dilaporkan hilang di kawasan Bidor dilaporkan meninggal pada jam 10.46 pagi selepas ditemui.

Warga Hong Kong Tsz Kin Richard Chan, 58, disahkan meninggal dunia oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Mengulas lanjut, Ka Siong meminta agar pihak tertentu tidak mengeruhkan lagi keadaan apabila mempertikaikan kenyataan awalnya semalam.

Jelas beliau, maklumat yang diperoleh beliau adalah laporan yang diterima daripada CAAM di KLATCC.

Menurut Ka Siong, maklumat yang diterima pada 8.18 pagi merupakan masa sebenar juruterbang ditemui yang masih bernyawa sebelum disahkan meninggal lebih kurang dua jam selepas itu.

“Kita kena lihat berdasarkan kepada maklumat real time pusat SAR di KLATCC. Apa yang berlaku itu apa yang dilaporkan terus selepas penemuan, janganlah kita keruhkan air tidak elok maki hamun siapa yang patut mati. Kena lihat kenyataan saya dengan kenyataan polis yang bezanya dua jam.

“Orang laga-lagakan dengan pertikai apa berlaku 8.20 dan 11 pagi. Masa ditemui mangsa belum meninggal,” katanya.-MalaysiaGazette