Jais Abdul Karim Nazlan pendakwaan terpilih SPRM Shafiq
Jais Abdul Karim

RAMAI yang tertanya-tanya mengenai status siasatan agensi penguatkuasaan terhadap dakwaan berhubung sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan puncanya dalam akaun Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia (KPPUM), Zamil Ibrahim telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hujung April lalu, namun sehingga kini masih belum diketahui sama ada Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan pendakwaan atau sebaliknya.

Pada 21 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan mengenai kes membabitkan Mohd. Nazlan telah selesai dan sudah diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut tetapi Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 21 Ogos menyatakan kertas siasatan itu tidak berada di tangannya.

Kemudian, pada 8 September, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan dokumen itu berada pada pihaknya setelah dikembalikan oleh AGC.

Rakyat biasa mungkin menyangka seolah-olah berlaku situasi ‘ding-dong’ membabitkan kertas siasatan tersebut antara SPRM dan AGC sehingga menyebabkan mereka mempersoalkan mengapa proses itu mengambil masa yang agak lama.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berharap rakyat dapat bersabar menunggu proses siasatan terhadap Mohd. Nazlan selesai agar SPRM dapat mengumpulkan bukti yang mencukupi sebelum dibawa kepada AGC.

Malah, kata beliau, sebelum ini terdapat siasatan berhubung dakwaan rasuah yang mengambil masa yang lebih lama, sehingga menjangkau tempoh antara empat hingga lima tahun.

“Agensi penguatkuasaan perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 90 peratus bukti yang kukuh, barulah dibawa ke mahkamah.

“Kalau kertas siasatan tidak lengkap, kes tidak akan diteruskan. Kita yakin kes ini akan dibawa ke mahkamah setelah semuanya lengkap,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Isu membabitkan Mohd. Nazlan turut dibangkitkan oleh tokoh-tokoh politik terutamanya dari UMNO.

Pada 18 Ogos lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta SPRM tampil untuk mengesahkan atau menafikan satu laporan yang menyatakan bahawa Mohd. Nazlan telah melakukan kesalahan.

Jais berpandangan, dalam situasi politik negara yang agak panas ketika ini, agensi penguatkuasaan dan mahkamah tidak terlepas daripada ‘dicop’ pihak tertentu sengaja melambat-lambatkan siasatan atas faktor politik.

“Kita percaya agensi penguatkuasaan sedang bertungkus-lumus untuk melengkapkan siasatan. Perlu beri masa kepada mereka,” jelasnya.

Sememangnya, tidak banyak maklumat diketahui mengenai kertas siasatan terhadap Mohd. Nazlan lebih-lebih lagi apa yang berlaku sepanjang Mei hingga 21 Ogos.

Situasi itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat.

Bagi Jais, pendekatan yang diambil oleh SPRM dan AGC itu adalah yang terbaik kerana adalah lebih baik proses siasatan dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

“Kalau kerap sangat adakan sidang media dan keluar kenyataan tentang perkembangan siasatan, kita bimbang bukti mungkin hilang atau saksi mungkin lari ke luar negara.

“Biarlah rahsia dan rakyat hanya dimaklumkan setelah kes dibawa ke mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette