SYDNEY – New Zealand belum mengambil sebarang langkah untuk menjadi sebuah negara republik dalam jangka masa pendek selepas kematian Ratu Elizabeth II, kata Perdana Menteri, Jacinda Ardern.
Namun beliau percaya usaha ke arah itu akan berlaku suatu hari nanti, lapor Reuters.
“Saya tidak pernah nampak ada keperluan mendesak kerana begitu banyak cabaran yang kita hadapi.
”Ini adalah perdebatan yang besar dan penting. Jangan fikir ia akan atau harus berlaku dengan cepat,” kata Ardern kepada pemberita apabila ditanya sama ada perubahan dalam monarki British akan mencetuskan perbincangan mengenai kewujudan negara republik di New Zealand.
Raja British merupakan ketua negara bagi 15 buah negara Komanwel termasuk New Zealand.
Negara-negara lain ialah Australia, Kanada, Antigua dan Barbuda, Bahamas, Belize, Grenada, Jamaica, Papua New Guinea, Saint Lucia, Kepulauan Solomon, St. Kitts dan Nevis, dan St Vincent dan Grenadines dan negara bukan Komanwel Gibraltar, Kepulauan Falkland, Bermuda dan Kepulauan Cayman.
Ardern akan mewakili New Zealand pada upacara pengebumian Ratu Elizabeth II.
Kemangkatan Ratu Elizabeth II mencetuskan semula perdebatan mengenai masa depan monarki di Australia.
Sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese juga menyuarakan sokongan untuk menjadikan negaranya sebuah republik. – Agensi