SHAH ALAM – Polis Selangor mengesahkan bapa kandung kepada pelakon remaja, Puteri Balqis disambung reman selama empat hari, bermula hari ini hingga 16 September.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, suspek ditahan membabitkan dakwaan kes serangan seksual, memiliki bahan lucah dan pengabaian.
“Reman kita sudah habis di Subang Jaya (IPD) dan kita buat tangkapan sebab dia ada satu lagi kes di Shah Alam.
“Jadi kita tahan reman bermula hari ini. Suspek disiasat masih lagi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.
Pada 6 September lalu, polis menahan suspek di kediamannya di Kedah dan direman sehingga 12 September lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat yang mengesahkan penangkapan itu berkata, selain menahan lelaki berusia 43 tahun itu, polis turut merampas telefon bimbitnya.
Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang telah dibuat oleh pelakon remaja itu di Subang Jaya, 5 September lalu.
Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, pihaknya sudah memanggil beberapa saksi untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes itu.
“Kita sudah panggil saksi termasuk ambil keterangan, cuma jumlah saksi saya tak boleh beri.
“Butiran siasatan pun saya tak boleh bagi sebab kes masih dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette