KUALA LUMPUR – Seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM7 juta bagi projek pembinaan sebuah bangunan di Terengganu membabitkan nilai keseluruhan lebih RM100 juta.
Permohonan reman terhadap suspek lelaki berusia 54 tahun tersebut dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 September 2022.
Menurut sumber, suspek lelaki tersebut dipercayai mengemukakan tuntutan sejak 2020 hingga Mei tahun ini dan ditahan di pejabatnya di Shah Alam, semalam.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette