Sesi Townhall Bajet Anak Muda 2023 Negeri Pahang dihadiri lebih 1000 belia

KUANTAN – Bajet Negeri Pahang 2023 untuk anak muda akan digarap berpaksikan suara dan kehendak golongan itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dibuktikan dengan penganjuran sesi Townhall Bajet Anak Muda 2023 buat julung kalinya dengan penyertaan lebih 1,000 belia malam tadi.

“Jadi sekarang kita dapat maklum balas daripada anak-anak muda sendiri. Ada 21 suara yang memberi input untuk dipertimbang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas program terbabit di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Sesi Townhall Bajet Anak Muda 2023 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Datuk Indera Nazri Abu Bakar, barisan Exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi seluruh negeri.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, terdapat idea yang disuarakan anak muda dalam program selama dua jam itu telah dilaksanakan kerajaan negeri, seperti kemudahan pemilikan rumah untuk warga belia.

“Ada juga perkara yang saya tak terfikir pun. Pandangan yang baik dan sangat bernas ini kita akan ambil perhatian dan bentangkan pada persidangan Bajet pada 7 Oktober nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Zafril Nasir, 39, yang menyertai program itu memuji usaha kerajaan negeri yang mahu mendengar pandangan anak muda dalam menyediakan belanjawan negeri.

“Belia daripada akar umbi, kampung-kampung berpeluang bertemu dan bersemuka dengan kepimpinan utama negeri untuk mengemukakan idea yang sebelum ini mungkin tak sampai,” katanya.

Zafril Nasir

Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Belia Daerah Maran merangkap Pengerusi MAYC Pahang berharap program seperti itu dapat dianjurkan lebih kerap pada masa hadapan.

“Saya sebenarnya nak mencadangkan kerajaan negeri Pahang pertimbang buat pemberian bantuan kewangan secara one-off terus kepada belia mengikut model yang dilaksanakan di peringkat persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zafril berkata, ia selepas mendengar begitu ramai dalam kalangan belia Orang Asli, golongan orang kurang upaya (OKU) dan mahasiswa yang hadir mahukan bantuan geran dan kewangan.

Katanya, kerajaan negeri boleh mengambil model pelaksanaan bantuan besasar secara one-off seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ketika era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Bantuan Sara Hidup (BSH) ketika  pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang dilaksanakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seorang lagi belia, Prathap a/l Sasuraja, 38, berkata, penganjuran sesi Townhall Anak Muda memberi peluang kepada anak muda menyuarakan hasrat kepada kepimpinan utama negeri secara bersemuka.

Prathap a/l Sasuraja

“Sebelum ini pun kerajaan negeri memang cakna belia di mana Bajet 2022 pun banyak yang disalurkan kepada anak muda terutama mangsa Covid-19,”katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Kelab Belia Bell Tamil Pahang juga berharap agar program seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Tahniah juga kepada kerajaan negeri kerana menjadi satu-satunya negeri yang memberi rumah percuma kepada rakyatnya,” katanya. – MalaysiaGazette