logo mahlamah

SHAH ALAM – Bekas ketua penolong pegawai daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung kerja menurap semula dua lorong jalan di daerah berkenaan pada 2020 dan 2021.

Mohd Asraf Redzuan, 39, membuat pengakuan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd Asraf menerusi seorang lelaki berusia 35 tahun secara rasuah meminta RM5,000 dan menerima wang berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki lain berusia 44 tahun sebagai upah baginya selaku seorang pegawai badan awam di pejabat berkenaan.

Mohd Asraf didakwa melakukan perbuatan berkenaan bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja menurap semula dua lorong di Kampung Batu 10, Kebun Baru di Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat pentadbiran sebuah masjid dan sebuah bank tempatan di Seksyen 14, di sini antara 11 November 2020 hingga 24 Februari 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozilah membenarkan Mohd Asraf diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman manakala Mohd Asraf diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Muhamad Sukri.

Mahkamah menetapkan 27 Okt ini untuk sebutan semula kes. – Bernama