Keadaan di sekitar Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang akan mula beroperasi tidak lama lagi bagi Fasa Pertama dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa sepanjang 24.4 km yang menghubungkan Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang di Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Fasa pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) melibatkan jarak 16.6 kilometer (km) dari persimpangan Cheras-Kajang ke persimpangan Bukit Antarabangsa di sini sudah sedia dibuka dalam masa terdekat.

Lebuhraya bertingkat ketiga tertinggi di negara itu dengan ketinggian 56.6 meter itu akan dirasmikan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam pelancaran fasa pertamanya  malam esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, ia melibatkan 11 persimpangan dengan dua plaza tol iaitu Bukit Teratai dan Ampang.

“Jangkaan kita sebanyak 80,000 pengguna akan guna laluan ini sebagai alternatif untuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). Lebuhraya ini beri pilihan buat pengguna untuk memilih laluan yang cepat, selesa, selamat dan efisien,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), Datuk Mohammad Azlan Abdullah pada sidang media mengenai Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2022.

Jelas Mohammad Azlan, lebuhraya sepanjang 24.4 km bermula dari Sri Petaling ke Jalan Hulu Kelang itu sudah 98 peratus siap setakat 30 Ogos lalu.

Katanya, baki tersebut adalah dari Bandar Tasik Selatan ke Taman Len Seng di Cheras dan Alam Damai akan diselesaikan pada suku pertama 2023.

Mengulas mengenai teknologi dan kecanggihan sistem keselamatan di SUKE, beliau memaklumkan terdapat penghadang bunyi di kedua-dua arah laluan sepanjang 18.69 kilometer.

Keadaan lorong yang luas di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang akan mula beroperasi tidak lama lagi bagi Fasa Pertama dari persimpangan Cheras-Kajang ke Bukit Antarabangsa di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2022.

“SUKE mempunyai tiga lorong dua hala dengan kelebaran 3.5 meter bagi setiap lorong serta lorong kecemasan dengan keluasan setiap tiga meter.

“Lebuhraya ini 100 peratus berlampu yang dilengkapi 3,377 lampu jalan LED, 40 kamera litar tertutup (CCTV), 22 telefon kecemasan dan 22 sistem pengesanan kemalangan kenderaan (VIDS) dipasang pada tiang bersepadu,” ulasnya.

Sebagai rekod, SUKE mempunyai 14 persimpangan iaitu Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Ulu Kelang, Taman Hillview dan Bukit Antarabangsa.

Lebuhraya yang mula dibina sejak Ogos 2016 itu menghubungkan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (KL-Seremban), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE).

Dengan perbelanjaan kos sebanyak RM5.7 billion, ia juga mempunyai jaringan ke MRR2, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Timur Lembah Klang (EKVE) yang kini dalam pembinaan.

Tanjakan ‘helikoidal’ pertama di Malaysia di persimpangan Cheras-Kajang ketika tinjauan media mengenai perkembangan terkini projek SUKE di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2022.

Struktur ikonik di lebuh raya tersebut dengan tanjakan helikoidal pertama di negara mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records dan Anugerah Reka Bentuk Lebuh Raya Dinamik oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Harapan Mohammad Azlan agar ia menyelesaikan penyuraian trafik di bahagian timur Kuala Lumpur yang merupakan projek di bawah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dipacu Program Transformasi Ekonomi (ETP). – MalaysiaGazette