KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) kecewa terhadap keputusan Bank Negara menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini.

Pengerusinya Abdul Halim Husin berkata, pihaknya telah menerima pelbagai aduan berkenaan masalah yang dihadapi oleh pelbagai persatuan dan usahawan serta rakyat jelata berhubung kenaikan ini.

“Justifikasi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Bank Negara (BNM) adalah dangkal dan seolah-olah bersifat ikut-ikutan.

“Kami mempersoalkan fungsi wakil luar lantikan menteri kewangan dalam Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara kerana wakil yang sepatutnya menjaga kepentingan rakyat seolah-olah tidak mempedulikan keadaan rakyat sedang berdepan kos sara hidup yang terus menerus meningkat di samping kenaikan kos operasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi majikan utama golongan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, OPR telah mengalami tiga kali kenaikan berturut-turut bagi tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

“Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi bagi OPR turut dinaikkan kepada 2.75 peratus.

“Nampaknya BNM tidak memahami kesan kenaikan OPR pada rakyat biasa dan PMKS. Pihak pemerintah perlu melakukan tindakan intervensi yang lebih bermakna dan tidak hanya melepaskan BNM berbuat berdasarkan buku teks ekonomi neo liberal, yang tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana pada ketika ini Malaysia adalah antara negara yang mempunyai tahap hutang isi rumah rumah tertinggi dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Jelasnya, dengan peningkatan OPR ini, ia menyumbang kepada bayaran ansuran pinjaman yang lebih tinggi kepada bank seterusnya melonjakkan lagi tahap hutang isi rumah negara.

MTEM turut menggariskan tiga hujah mengenai perkara ini.

“Pertamanya, semasa kadar faedah di bawah dua peratus, nilai ringgit ialah sekitar 3.00 ke 3.20 tetapi apabila naik ke 3.3 peratus, nilai ringgit jatuh sampai 4.30 semasa kegawatan ekonomi 1997, kadar faedah 6.9 peratus, nilai ringgit ialah 3.90 bagi setiap dolar Amerika.

“Pada 2010, apabila kadar faedah turun ke bawah 2 peratus, nilai ringgit semakin kuat 3.10 ke 3.40. Fakta di atas sepatutnya menafikan kaitan kadar faedah (OPR) kepada nilai ringgit,” katanya lagi.

Tambah Abdul Halim, jumlah hutang dan pendahuluan oleh pelbagai bank setakat Mei 2022 adalah sebanyak RM1.57 trilion.

“Bagi setiap 25 mata asas, akan ada juga kenaikan pada setiap hutang dan pendahuluan, bank akan meningkatkan perolehan mereka sebanyak RM3.9 bilion setahun.

“Apabila kenaikan mencecah 1 peratus, bank akan memperoleh RM15.7 bilion setahun. Pada September 2021, hutang isi rumah adalah sebanyak 89 peratuis.

“Sekali lagi, kerajaan perlu bersikap adil dalam memastikan ekonomi terus berkembang untuk semua dan bukan hanya pada industri besar dan berteraskan eksport.

“Demi Rakyat atau demi Bank? Perlu seimbang dan lebih kreatif untuk memastikan proses pemulihan ekonomi tidak terganggu,” katanya.

Beliau menambah, inflasi yang berlaku hari ini adalah berpunca gangguan pada rantaian bekalan dan kegiatan pengambilan untung berlebihan (price gouging) bukan kerana ada lebihan wang dalam pasaran yang mengakibat kos pembuatan meningkat.

“Pada bulan lepas (Ogos), Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan Akta Pengurangan Inflasi yang mengandungi pelbagai cara bagi menangani punca masalah inflasi, bukan sekadar bergantung kepada kawalan kadar faedah oleh bank pusat semata-mata.

“Berdasarkan tiga hujah ini, MTEM menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkan cadangan yang diutarakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memberi moratorium tanpa faedah sekurang-kurangnya selama dua bulan untuk setiap kenaikan 25 mata atas OPR kerana ia meringankan beban isi rumah dan PMKS selain memberi mereka masa untuk menyesuaikan keadaan,” katanya.

Jelasnya, sektor perbankan akan terus menambah keuntungan berganda-ganda tanpa melakukan apa apa di atas setiap kenaikan OPR pada ketika rakyat dan PMKS terpaksa membayar hutang yang lebih banyak setiap bulan.

“Selain itu, ada kewajaran untuk mempertimbangkan dalam jangka pendek, kaedah nilai tukaran minima (floor exchange rate) yang lebih rendah daripada sekarang bagi mengurangkan kos import yang seterusnya menangani inflasi.

“Untuk jangka panjang, dasar penerimaan dan pembayaran dalam import dan eksport sekarang mesti dikaji semula.

“Hakikatnya Menteri dan wakil Parlimen dipilih oleh rakyat, manakala Gabenor Bank Negara pula dipilih oleh kerajaan.

“Jadi semua pemegang taruh perlu melakukan libat urus dengan lebih terperinci untuk mendapat penyelesaian yang lebih mesra rakyat dan mampan untuk negara,” katanya.

Katanya lagi, perkara yang tidak berkait dengan ekonomi seperti persiapan Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU-15) tidak boleh mengalih perhatian mereka yang bertanggungjawab di puncak kuasa dalam keadaan hari ini, demi kemaslahatan rakyat hari ni. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast