KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon era 1980-an, Aman Shah Abu Kassim,68, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) sekitar jam 2 petang tadi akibat serangan jantung.

Anak sulung Allahyarham, Hadzly yang mengesahkan perkara itu berkata, bapanya dimasukkan ke IJN sejak seminggu lalu, lapor Astro Awani.

Jenazah masih berada di IJN dan akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Cheras sebaik selesai dimandi dan dikafankan.

“Insya-ALLAH, jika tiada aral, jenazah akan dikebumikan sebelum solat Maghrib hari ini,” kata Hadzly.

Aman Shah yang popular dengan lagu Adikku Pandai Menari selain lagu hari raya Kepulangan Yang Dinanti yang sering dimainkan di corong-corong radio.

Tidak hanya itu, Allahyarham juga pernah membintangi filem Darah Satria sebagai teraju utama.

Selain itu, Aman Shah turut berlakon beberapa buah drama antaranya Gerak Khas (musim ke-12), Mr Boss Miss Stalker, Ameera dan Nasuha. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast