KUALA LUMPUR – Meskipun tugasnya sebagai pemimpin negara menuntut waktu yang banyak bersama rakyat namun Tun S. Samy Vellu tidak pernah gagal dalam tugasnya sebagai seorang ketua keluarga dan bapa.
Anak lelakinya Senator Datuk Seri S. Vell Paari berkata, sejak kecil dia begitu susah untuk bertemu dengan ayahnya yang selalu tiba di rumah pada jam 12 tengah malam atau 1 pagi.
Ketika itu, ayahnya menjadi Menteri Kabinet dan Presiden MIC.
Walaupun dia balik rumah lewat, tetapi ayah akan bangun sekitar 4 pagi.
“Semasa dia bangun sekitar 4 pagi orang ramai sudah beratur panjang depan rumah untuk berjumpa dengan ayah bagi mengadu masalah dan mendapatkan bantuan,” katanya.
Vell Pari berkata, ayahnya bukan sahaja ketua kepada keluarganya tetapi turut memainkan peranan sebagai seorang ‘bapa’ kepada adik-beradiknya selepas datuk beliau meninggal dunia.
Oleh itu, kematian ayahnya satu kehilangan besar buat dia sekeluarga.
Berkongsi cerita saat-saat akhir bersama ayahnya, Vell Pari berkata, Samy Vellu seorang ayah yang tidak suka menyusahkan orang lain walaupun menghidap penyakit dementia.
”Walaupun memorinya agak teruk tetapi dia tidak pernah membenarkan orang lain untuk mengenakan pakaian untuknya.
”Sehingga meninggal dunia awal pagi tadi, ayah telah mengenakan pakaian tanpa harapkan orang lain, mandi dan menyikat rambut dengan sendiri,” ujarnya.
Menurut Vell Pari, ayahnya akan menonton drama-drama kegemarannya sejak tidak lagi ke pejabat.
Katanya, malam semalam dalam jam 9.30 malam, ayahnya makan nasi goreng Cina bersama telur sebanyak tiga sudu sebelum mengambil ubat dalam jam 10.15 malam.
“Ayah sempat ke tandas jam 2.45 pagi sebelum tidur semula 3.20 pagi. Itulah saat terakhir saya melihat dia.
“Kami kejutkan ayah jam 6.30 pagi tadi, sebab itu adalah waktu kebiasaan dia bangun tidur tetapi tiada respons,” katanya dengan nada sayu.
Vell Pari berkata, anak perempuan saya yang sepatutnya bertolak ke United Kingdom malam esok sempat berjumpa dengan datuknya sekitar jam 6 petang.
Katanya, sebagai seorang anak, beliau terharu ramai orang yang datang untuk memberi penghormatan akhir tanpa kepada ayahnya.
”Saya cukup terharu dan terima kasih,” ujarnya. – MalaysiaGazette