KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini melancarkan Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Pulau Pinang melalui talian penghantaran keempat, yang mampu membekalkan sehingga 2,000 megawatts (MW) secara terus dari Grid Nasional di tanah besar Semenanjung ke Pulau Mutiara itu.
Sistem penghantaran melalui sambungtara talian atas 275kV sejauh 8.5 kilometer ini akan direntang selari dengan jambatan pertama Pulau Pinang dengan menggunakan 31 menara tunggal (monopole), menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Stesen Janakuasa (SJ) Perai ke PMU The Light, yang akan dibina di Daerah Timur Laut berhampiran Kem Tentera
Batu Uban.
Tiga penghantaran bekalan elektrik sedia ada ke pulau berkenaan adalah melalui kabel dasar laut 132kV dari SJ Prai – SJ Gelugor yang dimula tugas pada 1978; 132kV kabel bawah jambatan (1989) dan 275kV kabel dasar laut dari PMU Juru – PMU Bayan Lepas (1995), di samping SJ Gelugor.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelaksanaan projek talian atas ini yang kapasiti penghantaran tenaga elektrik adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kaedah kabel bawah jambatan dan kabel dasar laut.
Ia mampu menghantar bekalan 2,000MW daripada SJ Perai ke PMU The Light bergantung kepada permintaan beban di kawasan pulau.
Katanya, projek bernilai lebih RM500 juta itu akan memastikan rakyat dan para pelabur di Pulau Pinang terus menerima bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap, berikutan permintaan dijangka meningkat sejajar pemulihan ekonomi pasca pandemik.
“Pengekalan kestabilan bekalan ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai bidang termasuk perindustrian, pembangunan infrastruktur, pengangkutan dan pelancongan. Malah, talian penghantaran ini sendiri menjadi daya tarikan pelancongan dengan enam daripada 31 menaranya mempunyai reka bentuk ikonik berbentuk buah pinang,” katanya.
Beliau berucap di majlis pelancaran itu di sini, yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan Ahli Dewan Rakyat/Negeri Pulau Pinang.
Berdasarkan fasa pembinaan projek ini, kerja-kerja penyiasatan tanah telah dijalankan sekitar bulan Februari sehingga Julai 2022.
Fasa seterusnya adalah kerja penanaman cerucuk di laut, pemasangan menara dan disusuli dengan kerja-kerja merentang pengalir yang dijangka dimulakan pada awal bulan Oktober 2022, dengan keseluruhan projek akan siap pada 2024. – MalaysiaGazette