Zuraida Kamaruddin

JASIN – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) digesa menyasarkan negara-negara dunia ketiga untuk memindahkan kepakaran teknologi mereka sekaligus menjadi sumber pendapatan negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kepakaran berkaitan industri perhutanan dan kayu kayan kini mendapat permintaan  tinggi dalam kalangan negara terbabit.

“Banyak negara dunia ketiga antaranya Bangladesh, India, Pakisan dan Kemboja yang sedang membangun industri ini dan masih belum ada lagi kepakaran hutan ini.

“Jadi saya cadangkan FRIM sebagai satu agensi yang ada kepakaran dalam bidang pokok untuk pindahkan teknologi mereka, manfaatkan kebolehan dan kepakaran kita untuk tambah pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Selandar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Ismail Parlan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) Muhtar Suhaili.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, selain FRIM, Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) juga mempunyai kepakaran dalam bidang penyelidikan makmal yang dapat menjimatkan masa negara berkenaan memperoleh hasil apabila tempoh kajian lebih pendek.

“Mereka (negara dunia ketiga) akan dapat manfaat kerana kita dah belajar belajar 50 hingga 60 tahun, mereka lima tahun sahaja boleh dapat (hasil) jadi lebih pendek masa mereka nak belajar,” katanya.-MalaysiaGazette