Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharaan Kermedekaan Bandar Hilir, Melaka. Foto MUHD NA'IM, 16 SEPTEMBER 2022.

MELAKA – Proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional harus terus dipertahankan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi dan rencam yang berbeza selain faktor geografi yang berbukit-bukau dan laut menjadi pemisah bukanlah tugas yang mudah.

Menurutnya, semakin bertambah usia negara, cabaran dan ancaman yang dihadapi semakin besar serta bertambah kompleks.

“Musuh-musuh yang memecah-belahkan hadir berbentuk ekonomi, politik dan sosial selain anasir-anasir dari luar yang giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

“Jika anasir-anasir ini dibiar berleluasa dan akhirnya memuncak ia dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir di sini malam ini.

Perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffery G. Kitingan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, nilai-nilai Keluarga Malaysia berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran merupakan ramuan penting dalam usaha membina kekuatan agar kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi.

“Dengan bersendikan konsep Tasamuh yang digariskan oleh Islam – iaitu hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga, segala perbezaan dan kepelbagaian ini, mampu dirai dan dihargai Keluarga Malaysia dengan hati yang terbuka,” katanya.

Pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, katanya, kerajaan Persekutuan telah memberi jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63 yang diluluskan pada 14 Disember lalu, katanya, adalah bukti kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Usaha ini selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan Kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

“Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara,” katanya.

Tambah beliau, Majlis Khas itu juga bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk memajukan kedua-dua negeri berkenaan.

Kerajaan, katanya, mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

“Tanggal keramat 16 September wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan.

“Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette