Mohd Asri Ninggal

MELAKA – Biarpun sekadar seri tanpa jaringan bertemu Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di sini malam tadi, pengendali Melaka United Mohd Asri Ninggal beranggapan aksi anak buahnya perlu mendapat pujian.

Beliau berkata walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan hanya seorang tonggak import dapat diturunkan pada perlawanan itu, pasukannya telah bermain mati-matian untuk mengekang pasukan lawan.

“Banyak halangan ditempuh dari minit pertama sehingga tamat perlawanan, mereka telah memberikan segalanya dalam permainan.

Man of the Match malam ini (tadi) bagi saya ialah penjaga gol Norazlan Razali yang telah lama tidak diturunkan, namun beliau menggunakan pengalamannya menyelamatkan serangan lawan. Kuala Lumpur City FC bukan pasukan sembarangan, pujian harus diberikan kepada semua pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan di Stadium Hang Jebat itu, kedua-dua pasukan sesekali melakukan percubaan dan mencipta peluang namun gagal menemui sentuhan penyudah.

Melaka yang menerima asakan demi asakan daripada Kuala Lumpur City FC menerusi Paulo Josue, Jordan Mintah dan Hadin Azman berjaya mempertahankan kubu mereka dengan Norazlan cemerlang menyelamatkan beberapa cubaan berbahaya daripada dibolosi.

Mohd Asri berkata dalam tempoh dua minggu sebelum bertemu Selangor pada 1 Okt ini beliau akan membuat persediaan secukupnya selain berharap pemain-pemain utama yang mengalami kecederaan akan pulih dan kembali memperkuatkan pasukan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kuala Lumpur Bojan Hodak berkata faktor kepenatan berikutan pasukannya terpaksa menempuh perjalanan jauh dan mengharungi empat perlawanan di tempat lawan mungkin mempengaruhi persembahan pasukannya itu.

Keputusan itu menyaksikan Melaka United yang mengumpul 18 mata kekal berada di tangga kesembilan manakala Kuala Lumpur City FC berada di tangga keenam dengan 25 mata.- BERNAMA