KUALA NERUS – Profesor Dr. Yusliza Mohd Yusoff, Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial dipilih menerima Anugerah Julangan Bakat melalui kategori Anugerah Kepimpinan Akademik Keseluruhan dalam Majlis Anugerah Tahunan (MAT) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.
Anugerah Kepimpinan Akademik bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan sanjungan kepada Ahli Akademik UMT yang telah menunjukkan kecemerlangan dan kewibawaan dalam menerajui bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi, pemindahan ilmu dan kepimpinan akademik secara holistik di peringkat universiti, negara dan antarabangsa.
Sumbangan dan baktiYusliza kepada UMT memang tidak disangkal lagi melalui kepakararan beliau di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia Lestari dan berjaya membawa nama UMT ke peringkat antarabangsa di dalam bidang yang diceburi sama ada dari segi penerbitan, hubungan kerjasama serta penyelidikan.
UMT turut meraikan seramai 184 orang staf yang menerima anugerah kecemerlangan daripada empat kategori iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khas Naib Canselor dan Anugerah Julangan Bakat.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berharap pengiktirafan ini akan menjadi dorongan ke arah
membudayakan kecemerlangan dalam semua aspek dan menjadi pembakar yang dapat menyuntik semangat serta terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi, berintegriti dan iltizam yang tinggi.
Tambahnya, untuk terus mendaki kecemerlangan, bakat universiti perlu lebih tangkas dan lebih proaktif kepada keperluan semasa dalam sektor pendidikan tinggi.
Penggunaan teknologi dan ICT mesti diaplikasikan secara optimum dalam setiap penyampaian perkhidmatan terutamanya proses pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain urusan pentadbiran universiti.
MAT tahun ini turut menobatkan buku Kelulutologi – Merungkai Misteri Kelulut, Alam dan Kehidupan Manusia, yang ditulis oleh Prof. Dr. Shamsul Bahrin Abd Razak.
Buku Kelulutologi ini merupakan nukilan hasil pengalaman penulis menyelidik bidang kelulut selama 10 tahun.
Buku ini mengupas sifat, kepelbagaian dan ciri kelulut, peranan dan hubungan kelulut di dalam melestarikan kehidupan manusia serta alam sekitar serta pengalaman pengembaraan penulis didalam merungkai misteri kelulut Indo-Malaya di negara-negara Nusantara.
Kelulutologi juga mengandungi foto-foto makro kelulut yang cantik dan berwarna-warni, sesuai untuk dijadikan rujukan bukan sahaja ahli akademik malah orang awam terutama pengusaha dan peminat kelulut.
Buku ini juga telah diulang cetak sebanyak tiga kali.
Untuk rekod, buku tersebut telah menerima Anugerah Buku Negara 2022 (Buku Umum Terbaik (Alam Semulajadi & Penyelidikan) dan turut menerima Anugerah Buku Ilmiah Terbaik (Sains Tulen) dalam kategori Anugerah Julangan Bakat dalam MAT kali ini.
Menurut Shamsul Bahri pengiktirafan buku Kelulutologi melalui dua anugerah yang diperolehi merupakan hadiah istimewa kepada semua pemain industri kelulut yang selama ini banyak memberi inspirasi.
Ujarnya lagi anugerah ini menjadi pendorong untuknya terus aktif meneroka ‘dunia kelulut’. – MalaysiaGazette