Gambar hiasan

ISU kebebasan akhbar bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Malah kewujudan media sebagai satu kuasa besar telah mempengaruhi hampir seluruh penduduk dunia. Ini berlaku apabila media, baik akhbar bercetak, mahupun atas talian jelas menunjukkan kemampuan dalam mempengaruhi atau membentuk pemikiran dalam kalangan pembacanya. Walau dalam negara-negara maju sekalipun seperti Jepun dan Amerika Syarikat, media masih kekal penting dan relevan sebagai agen utama dalam penyebaran dan perkongsian maklumat. Malah, platform-platform media sendiri sentiasa bercambah terutamanya dengan kewujudan sosial media, telefon pintar dan sebagainya dan keadaan ini dijangka akan terus bertambah.

Cabaran media masa kini boleh dikatakan bukan lagi tertumpu kepada pemilikan atau monopoli hak ke atas sesebuah media. Dalam banyak kajian, media Malaysia sendiri sering dibidas sama ada dari dalam atau luar negara apabila pemilikan akhbar utama negara, adalah berbentuk parti memerintah dan dikaitkan pula dengan perbezaan etnik. Walaupun keadaan tersebut dipersoalkan, pada satu ketika, banyak kajian menyatakan keperluan dalam mengawal kandungan atau konten dalam satu-satu berita bagi mengelakkan berlakunya provokasi yang boleh menggugat keharmonian negara.

Hal ini berlaku sebenarnya adalah berikutan perbezaan yang terdapat dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Ironinya, ramai yang tidak sedar bahawa antara sebab kepada kawalan dalam konten media inilah yang menyumbang kepada keharmonian yang masih kekal sejak Malaysia bergelar sebuah negara merdeka lagi. Kajian yang dibuat dalam kalangan pengamal media seperti wartawan dan editor sendiri telah menunjukkan bahawa walaupun akhbar mahukan pembebasan bersuara, tetapi hampir semua yang ditemubual masih terpaksa bersetuju dengan kawalan konten terutamanya yang melibatkan kaum dan agama.

Malah, ada juga pengamal media yang menyatakan bahawa negara lain yang mendakwa bebasnya media mereka, juga sebenarnya adalah tidak bebas sepenuhnya. Ini berlaku kerana setelah berada dalam industri sebenar, barulah mereka faham bahawa dalam memikul tugas dan tanggungjawab menyebarkan informasi kepada orang ramai, batasan tetap perlu kerana perkara paling utama yang mereka perlu pegang adalah untuk mengelakkan pepecahan atau ketidaksefahaman dalam kalangan pembaca berbilang bangsa.

Dalam erti kata lain, menjaga sensitiviti masyarakat berbilang bangsa ini menjadi antara tugas paling utama dalam mengekalkan keharmonian negara. Malah pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri pernah menyatakan mereka paling gentar apabila berurusan dengan konflik yang melibatkan kaum dan agama berbanding jenayah lain. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini ada menegaskan tentang kerajaan yang sedang memperjuangkan kebebasan akhbar dan media di Malaysia. Ini berikutan dakwaan bahawa berlaku campur tangan politik dalam pelantikan baru pengarang akhbar Inggeris tertua negara, New Straits Time (NST).

Perkaitan politik dalam sesebuah pemilikan akhbar sebenarnya bukanlah satu cabaran lagi pada masa kini tetapi apa yang lebih penting adalah kandungan laporan akhbar tersebut yang bukan bersifat tidak benar atau fitnah atau ada unsur provokasi. Pada masa yang sama, pelbagai platform media juga telah wujud dan pelbagai cara boleh digunakan dalam memperjuangkan agenda politik mereka. Ditambah pula dengan hasil-hasil kajian dalam dan luar negara yang menunjukkan bilangan yang masih membaca berita dari akhbar-akhbar semakin berkurangan dari semasa ke semasa. Maka, persaingan masih berlaku bergantung kepada kreativiti masing-masing dalam bersaing di antara satu sama lain.

Dari satu sudut, kebiasaannya, setiap pemilik akhbar adalah seorang pengundi, seorang yang memegang jawatan dalam sesebuah syarikat, agensi atau parti. Walau siapapun yang dilantik, tetap akan didakwa mempunyai kepentingan sendiri dalam media tersebut. Tetapi ramai yang tidak sedar, teraju utama yang membentuk ideologi dan pegangan sesebuah agensi atau syarikat media adalah terletak pada misi dan visinya yang berbeza.

Disebabkan itu, perkaitan politik dalam pemilikan media atau akhbar tidak perlu lagi dipersoalkan tetapi masyarakat perlu faham kerisauan utama yang sebenar adalah terletak pada konten media itu sendiri. Selagi ia tidak berunsurkan fitnah, bukan berita palsu, tidak menimbulkan provokasi berkaitan isu kaum dan agama, Malaysia akan terus kekal harmoni dalam kepelbagaian perbezaan yang ada pada masyarakat majmuknya.

Oleh: Dr Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia